KUCHING: Sarawak diberi penghormatan sebagai salah satu lokasi jelajah pramusim pasukan bola sepak ternama dari Australia, Perth Glory FC.
Ia bakal menyaksikan pasukan yang akan bersaing dalam Hyundai A-League itu mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Sarawak pada 11 Ogos depan diikuti perlawanan menentang pasukan SUKMA Sarawak pada 14 Ogos di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini julung kalinya pasukan bola sepak profesional dari luar negara memilih Sarawak sebagai destinasi jelajah pra-musim dan ia satu penghormatan amat besar kepada arena bola sepak Sarawak.
“Kebiasaanya pasukan profesional seperti ini akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan.
“Namun, jika mereka sanggup memilih Sarawak sebagai satu daripada pasukan lawan ini menunjukkan penghormatan diberikan kepada kita dan mereka melihat perlawanan itu dapat memberi kebaikan kepada pasukan mereka.
“Mereka juga melihat perlawanan ini sebagai satu perlawanan yang boleh menjadi kayu pengukur tahap pasukan mereka,” katanya pada sidang media Perlawanan Bola Sepak Antarabangsa dan Simposium Bola Sepak Antarabangsa Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.
Jelasnya, program anjuran Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu sangat baik kerana ia dapat digunakan untuk meningkatkan mutu bola sepak negeri ini terutamanya sebagai persiapan Sarawak menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada September depan.
Malah, Abdul karim memberitahu bahawa ia juga memberi peluang kepada peminat-peminat bola sepak tempatan menyaksikan pemain-pemain profesional mempamerkan kemahiran mereka di sini.
Tiket dikenakan sebanyak RM10 bagi tempat duduk terbuka dan RM15 tempat duduk berbumbung manakala kanak-kanak kemasukan percuma.
Selain FAS, program itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut Abdul Karim, Sarawak juga akan menjadi tuan rumah Simposium Bola Sepak Antarabangsa Sarawak yang akan diadakan dari 10 hingga 12 Ogos depan di Waterfront Hotel di sini.
Katanya, simposium itu bagi mendedahkan peserta-peserta konsep ‘total football’ merangkumi pelbagai aspek seperti latihan, pemakanan, nutrisi, kesihatan, taktikal, teknikal dan sebagainya.
“Kita mahu melihat pegawai-pegawai sukan yang terlibat dalam sukan bola sepak seluruh negeri ini dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bola sepak,” jelasnya.
Abdul Karim berkata, sekitar 300 peserta dari seluruh negeri ini termasuk Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Indonesia menyertai simposium julung kali itu.
Beliau menambah, penceramah yang akan berkongsi kepakaran mengenai bola sepak terdiri FIFA, AFC, FAM dan Perth Glory FC.
Yuran penyertaan sebanyak RM300 bagi setiap peserta dan tarikh tutup pada 3 Ogos depan.
Sementara itu, Presiden FAS Datuk Posa Majais berkata pihaknya turut bercadang membawa sebuah kelab bola sepak dari Sepanyol bagi mengadakan perlawanan persahabatan di sini selepas ini.
Hadir sama Naib Presiden FAS Razali Dolhan, Setiausaha Kehormat FAS Jeffery Lana, Ketua Unit Pembangunan Belia dan Kejurulatihan FAS Lucas Kallang dan Ketua Penolong Setiausaha Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Zul Usop. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment