SERIAN: Kerajaan baharu persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab untuk memastikan projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan di Sarawak diteruskan dan dipenuhi seperti yang telah dijanjikan.
Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata banyak perkara yang telah dijanjikan oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Antaranya, Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan hospital, jambatan dan banyak lagi projek lain yang dijanjikan kepada rakyat negeri ini.
“Di Sarawak kerajaan yang memerintah bukan PH tetapi di peringkat persekutuan kerajaan yang memerintah ialah PH.
“Tetapi adalah menjadi tanggunggjawab kerajaan yang memerintah sama ada BN atau PH untuk menunaikan dan meneruskan projek-projek ini.
“Sebagai contoh Lebuh Raya Pan Borneo, projek ini telah ditandatangani dan telah dimulakan oleh kerajaan terdahulu dan menjadi tanggungjawab kerajaan baharu PH untuk meneruskannya.
“Tetapi bagi projek seperti Jambatan Batang Lupar misalnya, yang mana telah dijanjikan tetapi belum dilaksanakan, ia terpulang kepada kerajaan PH untuk meneruskan atau tidak.
“Tetapi kita sudah pasti mahu ia diteruskan untuk kebaikan rakyat khususnya di Batang Lupar,” katanya pada Sembang Belia pada Program Transformasi Belia di Taman Rekreasi Ranchan dekat sini semalam.
Mengulas mengenai program tersebut, Karim dalam ucapan penutupannya berkata ia merupakan satu program yang baik untuk pembangunan modal insan dalam kalangan belia Sarawak.
Program ini katanya, mungkin tidak dapat mencapai objektif sepenuhnya tetapi sedikit sebanyak membantu dalam pembangunan modal insan.
“Belia memainkan peranan yang besar dalam negara dan saya percaya semua kita mahu berjaya dan untuk berjaya perlu ada ketekunan dalam diri belia,” katanya.
Dalam pada itu program tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Julai dan disertai seramai 119 peserta daripada kalangan belia Asajaya.
Program ini merupakan anjuran kementerian tersebut dengan kerjasama SABERKAS Negeri Sarawak dan Pemuda PBB Asajaya. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment