Wednesday, 3 February 2016

Perhebat kempen kesedaran cegah HIV

February 3, 2016

PERANGI HIV: Karim menerima cenderamata daripada Abang Sardon selepas menghadiri ceramah Kuching Zero HIV sempena projek Bandar Raya Sejahtera Menuju Sifar HIV Menjelang 2020 di Auditorium FINAS di Kuching, semalam.
KUCHING: Penglibatan remaja dalam gejala tidak bermoral seawal usia 15 tahun antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan HIV di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kempen kesedaran dan pencegahan terhadap masalah itu perlu diperluas dan diperhebatkan di peringkat sekolah.

Katanya, meskipun ia tidak melibatkan sukatan pembelajaran di sekolah, namun program kesedaran mampu membantu memberi penerangan bersifat pencegahan.

“Walaupun tidak melibatkan silibus tetapi ia tidak mendatangkan masalah untuk menjalankan kempen kesedaran tentang bahaya HIV di kalangan generasi muda,” ujarnya.

Karim berkata demikian ketika berucap pada ceramah Kuching Zero HIV sempena projek Bandar Raya Sejahtera Menuju Sifar HIV Menjelang 2020 di Auditorium FINAS di Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim.

Menurut beliau, pencegahan dari peringkat awal penting supaya generasi muda tidak terjerumus ke dalam masalah sosial tidak bermoral.

“Perlu pendekatan bersesuaian yang lebih berbentuk ‘preventive’ supaya generasi muda tidak terlibat dalam kegiatan seks bebas, penyalahgunaan dadah, berkongsi jarum suntikan dan sebagainya sehingga menyumbang kepada penyebab utama jangkitan HIV.

“Malah kita perlu melihat semula kaedah untuk membanteras gejala ini dari terus menular di kalangan golongan muda,” tegas Karim.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika dinilai dari segi statistik, kadar jangkitan HIV menunjukkan peningkatan dalam tempoh 10 tahun sejak 2004.

Namun, katanya rekod tersebut belum mencapai tahap yang dianggap kronik bagi negeri terbesar di Malaysia.

Bagaimanapun, ujarnya, perkara itu tidak harus dipandang ringan dan pihak berkaitan akan terus melakukan kempen kesedaran dalam usaha mencegah jangkitan ini.

Karim berkata, kira-kira 74 peratus daripada kes yang dikesan ini membabitkan golongan yang berumur 20 hingga 49 tahun.

“Jika dilihat dari peringkat usia ini, ia merupakan golongan belia, dan kita memerlukan golongan belia yang produktif untuk mentadbir masa depan negara,” katanya.

Beliau berharap agar hasrat untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya bebas jangkitan HIV menjelang tahun 2020 tercapai dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment