Tuesday 8 December 2015

Kerajaan negeri berhak halang Nurul Izzah masuki Sarawak



KUCHING: Kerajaan negeri mempunyai sebab menghalang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar memasuki Sarawak.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak mempunyai kuasa untuk menyekat kemasukan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ke negeri ini memandang hak imigresen adalah hak negeri.

“Nurul telah dilihat membuat ‘hubungan’ dengan anak Kiram, juga menjadi jurucakap penjenayah yang telah menyerang Lahad Datu Sabah kira-kira dua tahun lalu (2013).

“Mungkin Nurul, Dr Xavier Jayakumar (naib presiden PKR) atau PKR menganggap ia (serangan Lahad Datu) perkara remeh tetapi kedaulatan negara telah diancam oleh kumpulan Kiram ini,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia berkata sebagai Ahli Parlimen dan warganegara Malaysia, Nurul harus tahu tindakannya itu adalah salah.

“Nurul telah mengangkat sumpah taat setia kepada Malaysia apabila menjadi Ahli Parlimen, sepatutnya tahu bahawa ‘berhubung’ dengan musuh negara adalah perkara yang salah.

“Selagi beliau (Nurul) tidak menjelaskan kedudukannya kepada negeri Sarawak, saya menyokong tindakan kerajaan negeri menegahnya memasuki Sarawak” tegasnya.


Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata Nurul seharusnya dilarang memasuki Sarawak kerana beliau tidak sensitif dengan perasaan ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden Lahad Datu.

Bermakna ujarnya, Nurul tidak sensitif dengan perasaan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Beliau (Nurul) tidak dapat membezakan antara perasaan manusia dengan cita-cita politiknya,” tegas Menteri Kemajuan Tanah itu.

Ahad lepas, Nurul yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bersama Dr Xavier sekitar jam 4 petang ditahan di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia sebelum diarah pulang ke Kuala Lumpur dengan segera.

Bagaimanapun Dr Xavier dibenarkan memasuki negeri ini yang seterusnya mempengerusikan satu sidang media diikuti majlis makan malam bersama pemimpin dan ahli parti di peringkat negeri.

Dr Xavier yang ditemui selepas itu memberitahu media, tindakan menghalang kemasukan Nurul ke Sarawak menunjukkan kerajaan negeri kurang yakin menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

No comments:

Post a Comment