Wednesday 9 December 2015

Cabaran ketua masyarakat di luar bandar getir

December 09, 2016

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bergambar bersama-sama dengan seorang ketua masyarakat yang baru dilantik.

KUCHING: Ketua-ketua masyarakat di luar bandar menghadapi cabaran yang lebih mencabar dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, hampir semua perkara yang berlaku di kampung ataupun kawasan akan dilaporkan kepada mereka untuk perhatian ataupun tindakan susulan.

Adakalanya mereka terpaksa mengenepikan keperluan ekonomi demi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ketua masyarakat, katanya ketika berucap di Majlis Malam Penghargaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Kawasan P197 Kota Samarahan di hotel di sini malam tadi.

Beliau kemudiannya menambah, atas sebab itulah beliau merasa bangga dengan komitmen yang tinggi yang ditunjukkan oleh ketua-ketua masyarakat di kawasan Parlimen Kota Samarahan.

Menyentuh mengenai persaraan ketua-ketua masyarakat, Abdul Karim berkata perkhidmatan sebagai ketua masyarakat hanya tidak diteruskan atas faktor-faktor seperti kesihatan, kehendak masyarakat setempat dan keperluan situasi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan Barisan Nasional seringkali memberi tempoh perkhidmatan yang agak panjang kepada ketua-ketua masyarakat kerana ia akur bahawa mereka memerlu masa untuk berada di tahap optimum.

Abdul Karim, yang merupakan ADUN Asajaya, turut menggesa agar Pejabat Residen dan Daerah berusaha untuk mengisi kekosongan jawatan ketua-ketuamasyarakat secepat yang mungkin untuk mengurangkan tempoh masa kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat setempat disebabkan ketiadaan ketua-ketua masyarakat.

Dalam majlis tersebut, Abdul Karim menyampaikan watikah perlantikkan kepada ketua-ketua masyarakat yang baru.

Beliau juga menyampaikan surat penghargaan kepada ketua-ketua masyarakat yang telah bersara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang. -@ybkarimsays

No comments:

Post a Comment