Tuesday 21 August 2012

Tiada kesilapan terhadap Seksyen 114A, Akta Keterangan, kata Karim

August 21, 2012

AMALAN PERAYAAN: Abdul Karim Rahman Hamzah bersembang dengan Chong Chieng Jen (tengah). Turut kelihatan ialah Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin (kiri).
KUCHING: Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau secara peribadi tidak melihat sebarang kesilapan terhadap Seksyen 114A, Akta Keterangan yang diwartakan baru-baru ini.

Menurut Menteri Muda Belia merangkap Menteri Muda Perumahan yang berlatarbelakangkan karier peguam itu, ia hanyalah persepsi yang ditimbulkan oleh ahli-ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia telah diluluskan di Parlimen dan dilunaskan oleh Jabatan Peguam Negara… hanya menunggu dikuatkuasakan sahaja tetapi sekarang sebaliknya (dibantah),” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, Kampung Astana Lot, Petra Jaya dekat sini, kelmarin.

Karim yang juga merupakan ADUN Asajaya berkata sesiapa yang terlibat dalam media sosial harus tahu garis panduannya.

“Jika anda mengatakan sesuatu yang buruk mengenai orang lain atau kerajaan, kemudian telah didapati bersalah dari segi undang-undang dan didakwa, anda kena menghadapinya.

“Maka, anda kena berhati-hati… itulah sudut wajar yang saya lihat terhadap seksyen ini dan secara peribadi saya merasakan tiada apa-apa yang salah mengenainya,” katanya.

Karim mengulas mengenai permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jemaah menteri berbincang mengenai peruntukan seksyen itu yang telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat termasuk pengamal media dan ahli politik.

Seksyen 114A ialah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang telah diwartakan Julai lepas.

Ia dikatakan berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar atau menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.

Sementara itu, politik dibelakangkan – itulah ungkapan oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, yang menyambut mesra ahli-ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diketuai oleh Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen ketika mengunjungi rumah terbukanya.

“Politik adalah politik tetapi bila tiba masa untuk kita saling kunjung-mengunjungi sempena musim perayaan, ia harus diketepikan.

“Ada masa untuk kita berpolitik dan ada masa untuk kita bersama,” kata Karim.

Menurutnya, beliau dan Chong adalah berlatarbelakangkan peguam dan telah berkawan meskipun saling menentang ketika di dalam mahkamah.

“Perkara sama juga semasa kami di DUN, kami saling bertentangan tetapi di luar kami adalah rapat,” katanya.

Menyertai kunjungan Chong ialah ADUN Padungan Wong King Wei dan ADUN Batu Kawa, Christina Chiew.

No comments:

Post a Comment