Tuesday, 21 August 2012

Wang jangan dijadikan motivasi untuk atlet buru kejayaan: Karim

August 21, 2012, Tuesday

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia dan Perumahan, Abdul Karim Rahman Hamzah menyeru atlet khususnya di negeri ini agar tidak memandang faktor kewangan semata-mata sebagai motivasi untuk mereka memburu kejayaan.

Beliau berkata atlet yang bersikap seperti itu tidak akan bertahan lama dalam sukan yang disertai kerana mereka akan cepat berputus asa jika menemui jalan buntu.

Situasi ini, tegas Karim, tidak baik untuk Sarawak kerana negeri memerlukan atlet sukan yang benar-benar berjuang dengan sepenuh hati untuk negara.

“Kita tidak mahu atlet sukan terlalu dimanja-manjakan sehingga menyebabkan mereka lupa akan misi dan komitmen sebenar mereka dalam sukan.

Mereka harus sedar bahawa penglibatan mereka dalam sukan adalah untuk mengharumkan nama negeri dan juga negara kita ini,” tegasnya.

Abdul Karim mengambil bola sepak sebagai salah satu contoh wang tidak harus dijadikan sebagai motivasi dalam sukan, khususnya di negara barat.

Apabila mereka dibayar dengan gaji lumayan, ada di antara mereka yang mula hilang fokus terhadap bola sepak dan tenggelam dalam dunia yang penuh glamour.

“Dan apabila mereka tidak dapat menikmati gaya hidup seperti itu, mereka mula terlibat dalam gejala negatif seperti penetapan keputusan perlawanan yang menjejaskan sukan tersebut.

Itulah yang berlaku sekarang kerana tiada lagi komitmen terhadap bola sepak, sebaliknya mengejar kehidupan glamour,” tambahnya.

Berdasarkan kepada pengalamannya sendiri ketika menjadi penolong ketua kontinjen Sukma Sarawak yang lalu, beliau kesal ada segelintir ibubapa yang mahu anak-anak mereka terlibat dalam sukan ini kerana ganjaran kewangan yang lumayan semata-mata.

Justeru beliau tidak bersetuju dengan pandangan bahawa wang wajar dijadikan sebagai motivasi untuk berjaya dalam sukan.

“Jika tiada ganjaran wang, mulalah mereka (ibubapa) menyuarakan rasa tidak puas hati. Tindakan ini amatlah tidak wajar kerana mereka tidak sewajarnya menumpang populariti anak mereka. Sukan sepatutnya tentang melakukan yang terbaik dan rasa puas hati kerana menjadi seorang juara,” tegasnya.
   

No comments:

Post a Comment