Friday 10 August 2012

Ziarah warga emas walau bukan musim perayaan

August 10, 2012

MENCERIAKAN AIDILFITRI: Abdul Karim (dua kanan) menyampaikan sumbangan raya berupa makanan dan wang tunai kepada salah seorang daripada 62 penghuni RSK iaitu Ponia Sarbini berusia 85 tahun, semalam. Turut kelihatan Juita (kanan), Zawawi (tiga kanan) dan Saptuyah (belakang).
KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, korporat mahupun ahli keluarga penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching diingat untuk menziarahi warga emas yang tinggal di situ tanpa perlu menunggu musim perayaan.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi menggelakkan penghuni terus terasa dipinggir oleh masyarakat.

“Kita menyeru kepada masyarakat agar datang melawat penghuni di RSK tanpa menunggu pada musim perayaan sebaliknya bila-bila masa sahaja.

“Saya percaya kebanyakan penghuni di sini ada ahli keluarga mereka di luar sana dan mereka terpaksa menghantar mereka ke sini mungkin atas sebab tertentu,” kata Menteri Muda Perumahan itu.

Bagaimanapun beliau berkata, ahli keluarga penghuni sekurang-kurangnya dua bulan sekali hendaklah datang melawat sekiranya tidak ada masa untuk sebulan sekali.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Kuching berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Sumbangan Raya anjuran DUBS Cawangan Kuching yang dihadiri Timbalan Presiden DUBS Negeri Zawawi Embong dan Ketua Dewanita DUBS Juita Drap di RSK di Semenggok di sini, semalam.

Namun kata Abdul Karim, setiap tahun dan setiap musim perayaan penghuni-penghuni RSK Kuching khasnya tidak ketinggalan diceriakan oleh pelbagai badan yang datang beramal.

“Kali ini DUBS Cawangan Kuching pula mengadakan program bersama penghuni sempena Ramadan dan kedatangan Syawal tidak lama lagi untuk menceriakan penghuninya,” katanya.

Sementara itu Pengetua RSK Kuching Saptuyah Sazali dalam ucapannya berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan raya kepada penghuni bukan sahaja pada Hari Raya Aidilfitri tetapi perayaan lain termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan Krismas.

Beliau memberitahu, sehingga kini RSK Kuching mempunyai seramai 62 penghuni iaitu 23 daripadanya lelaki dan 39 adalah wanita.

“Mereka ini adalah warga emas berusia antara 60 tahun hingga 90 tahun daripada pelbagai kaum.

“Di sini mereka dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi bersama dalam suasana damai satu keluarga dan 1Malaysia,” katanya.

Saptuyah memberitahu bagi warga emas yang aktif, mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk menternak ayam, itik, menanam sayur-sayuran serta membuat kraf tangan.

Selain itu aktiviti mereka juga dipenuhi dengan terapi muzik, menonton wayang serta karaoke bagi mengisi masa lapang.

“Seperti yang kita sedia maklum, penghuni RSK Kuching akan berpindah ke Pusat Pemulihan Samarahan pada bulan depan (September) memandangkan bangunan sedia ada ini akan diroboh dan dibina semula di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-1O),” katanya.

No comments:

Post a Comment