Sunday 24 August 2014

DAP Sarawak cuba gagalkan rundingan royalti minyak, gas


Tindakan tersebut (kenyataan negatif) hanya menjejaskan rundingan yang dilakukan antara kerajaan negeri, Petronas dan kerajaan persekutuan. - Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak didakwa cuba mengagalkan rundingan royalti minyak dan gas antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan apabila Pengerusinya, Chong Chieng Jen baru-baru ini berkata ekuiti 10 peratus dalam MLNG 4 ditawarkan Petronas kepada Sarawak bukan satu pencapaian yang membanggakan.

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, DAP lebih gemar jika rundingan untuk menambah royalti 20 peratus berbanding lima peratus pada masa sekarang gagal.


“Jelas menerusi kenyataan sedemikian, DAP mahu menjejaskan perbincangan antara kerajaan negeri dan Petronas dan mereka ingin memastikan ia tidak berjaya kerana ia akan membawa manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Dan dengan jelas ia akan membawa sokongan yang lebih baik kepada Barisan Nasional dan menghalang (projek) Impian Sarawak mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Pada malam Selasa lepas, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mengumumkan Petronas menawarkan ekuiti 10 peratus dalam MLNG 4 kepada Sarawak.

Susulan itu, Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata orang ramai tidak wajar keliru antara ekuiti dan tuntutan royalti minyak dan gas 20 peratus.

Katanya, tiada kejutan dalam penawaran itu kerana sebelum ini Sarawak ditawarkan saham lima peratus untuk MLNG 1 dan 10 peratus masing-masingnya untuk MLNG 2 dan MLNG 3.

Dewan Undangan Negeri pada Mei lalu meluluskan usul untuk menuntut kenaikan royalti minyak kepada 20 peratus berbanding lima peratus pada masa sekarang.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Chong menghentikan segala kenyataan negatif mengenai tawaran pegangan 10 peratus kepada Sarawak dalam MLNG 4.

Menteri Muda Perumahan itu menegaskan tindakan tersebut hanya menjejaskan rundingan yang dilakukan antara kerajaan negeri, Petronas dan kerajaan persekutuan.

Jelasnya, tawaran 10 peratus pegangan dalam MLNG 4 yang diumumkan Ketua Menteri baru-baru ini merupakan antara hasil rundingan daripada beberapa rundingan yang masih lagi dijalankan.

“Ia tidak terhenti di situ sahaja, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan demi rundingan untuk mendapatkan bayaran royalti minyak dan gas 20 peratus daripada kerajaan pusat,” katanya. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment