Wednesday 12 February 2014

Samarahan capai perubahan paling besar: Karim


KOTA SAMARAHAN: Kawasan di bawah seliaan Majlis Daerah Samarahan (MDS) telah mencapai lonjakan perubahan yang besar dan paling cepat meningkat berbanding majlis-majlis daerah lain, kata Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, ini ekoran perubahan prasarana yang dibangunkan dengan banyak di kawasan MDS seperti jalan raya, institusi-institusi pendidikan, estet-estet perumahan, kem tentera dan sebagainya.

Malah, katanya, pembangunan prasarana di kawasan MDS juga akan menyaksikan pembinaan Jambatan Samarahan yang dijangka mula dilaksanakan pada tahun ini, selain Jambatan Sadong Jaya yang kini di tahap awal pembinaan.

Tambah beliau, turut akan dibina pada tahun ini ialah jalan raya merentasi Asajaya menuju ke Jambatan Sadong Jaya.

“Kalau dahulu, peranan yang dimainkan oleh MDS tidak begitu tinggi tetapi pada hari ini peranan MDS adalah amat besar, lebih kurang sama dengan apa yang dijalankan oleh majlis perbandaran.

“Sebab itulah, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menaik taraf MDS kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan ia dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis MDS 2014-2015 di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.

Justeru, Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya mengingatkan ahli-ahli majlis MDS supaya komited dalam menjalankan tugas masing-masing.

Sementara itu, majlis menyaksikan seramai 30 individu daripada pelbagai latar belakang telah dilantik sebagai ahli majlis MDS bagi tempoh 2014-2015.

Perlantikan tersebut turut menyaksikan 14 muka baharu di mana Datuk Frederick Bayoi Manggie dikekalkan sebagai Walikota selaku Pengerusi MDS dan Zakiah Basah sebagai Timbalannya.
  

No comments:

Post a Comment