Wednesday, 5 February 2014

Taib wajar diberi peranan penting selepas bersara


Tunjuk ajar dan panduan amat diperlukan demi Sarawak

KUCHING: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat Pehin Sri Abdul Taib Mahmud wajar diberi peranan penting setelah bersara sebagai Ketua Menteri kelak.

Meskipun tidak menjelaskan lanjut peranan itu dan apakah jawatan dimaksudkan, Abdul Karim berkata tunjuk ajar dan panduan daripada Taib amat diperlukan dalam memastikan projek pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya, projek seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Hab Halal Tanjung Manis dan empangan-empangan hidroelektrik adalah ilham dan perancangan jangka panjang Ketua Menteri dalam memastikan Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

“Kita mahu beliau kekal memainkan peranan sebagai bapa, pembimbing dan seseorang yang boleh dirujuk untuk meneruskan landasan yang beliau lakukan seperti SCORE, Hab Halal dan empangan (hidroelektrik) seperti yang diilhamkannya.

“Ini dilakukan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk masa depan negeri ini,” katanya dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di sini, semalam.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, rata-rata pemimpin Barisan Nasional (BN) masih mahu Taib memimpin Sarawak yang kini berhadapan dengan faktor usia.

Katanya, pengorbanan Ketua Menteri dalam politik bermula pada usia 20-an dan sehingga kini, beliau rela mengurangkan masa bersama keluarga demi memastikan rancangan pembangunan negeri atau negara ini dapat dilaksanakan.

Taib berjaya membuktikan Sarawak berada pada tahap pembangunan memberangsangkan malah muncul dengan perancangan ekonomi yang berpandangan jauh seperti SCORE.

“Pembangkang dan orang luar pun mengakui tahap pembangunan yang dipelopori Pehin Sri (Taib) di negeri ini,” katanya mengulas mengenai desas-desus Taib akan bersara daripada jawatan Ketua Menteri yang kian hangat diperkatakan ramai terutama di kalangan penganalisis politik pada masa ini.

Sambil mengulangi dan menegaskan khidmat Taib masih diperlukan dalam pembangunan Sarawak, Abdul Karim berkata bila masa sesuai untuk bersara, jawapannya cuma diketahui Ketua Menteri sendiri.

“Mungkin esok, bulan hadapan dan dua tahun lagi. Terpulang kepada beliau bila hendak bersara, dia tahu masanya (sesuai),” katanya sambil menambah Taib, apabila tiba masanya kelak pasti akan menyerahkan tugas itu kepada orang yang layak dan berupaya meneruskan perancangan pembangunan.

Beliau berkata, sesiapa yang dipilih menggantikan beliau (Taib) kelak akan diberi sokongan padu.

Mengenai dua mesyuarat dipengerusikan Taib pada Sabtu dan Ahad ini di sini, Abdul Karim menyifatkan ia sebagai mustahak.

Menurutnya, pada 8 Februari, Ketua Menteri akan mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB dan dikatakan sebagai perjumpaan lazim.

Manakala pada 9 Februari membabitkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak.

Mesyuarat-mesyuarat itu juga dikatakan akan membincangkan isu-isu semasa seperti kalimah ‘Allah’ serta hubungan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Ini (mesyuarat) tempat yang bagus untuk Ketua Menteri memberi nasihat kepada semua wakil rakyat BN sama ada ADUN atau Ahli Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Karim turut menyampaikan geran kewangan kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).
  

No comments:

Post a Comment