Monday, 17 February 2014

Belia berperanan majukan negara, bakal pemimpin masa depan


SANTUBONG: Golongan belia berperanan penting dalam memajukan negara dan merupakan bakal pemimpin negara pada masa depan.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, belia cemerlang adalah aset negara paling berharga dalam meneruskan kepimpinan bagi mencapai kegemilangan sekali gus menyediakan golongan pelapis yang berdaya saing.

Justeru, bagi mencapai tujuan itu golongan belia seharusnya membabitkan diri dengan kegiatan yang berfaedah.

“Penting untuk menjaga kepentingan belia dan memahami kehendak semasa mereka, agar kita dapat membimbing mereka menjadi pemimpin yang baik pada masa depan.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa sendiri untuk mendekati golongan ini, agar kita tahu apa yang mereka inginkan dan dapat memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sukarelawan Jiwa Muda AZAM (#ayckickstart2014) di sini, semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menambah, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh kerajaan untuk mendekati golongan belia.
   
“Kita tidak boleh ketepikan golongan belia kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan.

“Memandangkan belia dekat dengan hati saya yang mana di bawah kementerian saya sendiri, saya sangat mengalu-alukan dan memuji tindakan pelbagai agensi baik kementerian ataupun NGO seperti Angkatan Zaman Mansang (AZAM), Jabatan Belia dan Sukan serta Kemeneterian Pembangunan Sosial (KPS).

“Oleh itu, aktiviti-aktiviti diadakan seperti ‘#ayckickstart2014’ diharap dapat mengumpulkan golongan belia tanpa mengira kaum, serta pegangan agama dengan harapan mendekati, membuka minda serta merapatkan lagi hubungan di kalangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap golongan belia dapat melengkapkan diri dengan segala pengetahuan untuk menjadi pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih kepimpinan sedia ada bagi meneraju negara pada masa akan datang.

Jelasnya, sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan oleh golongan tersebut untuk mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pemimpin pada masa akan datang, negara akan ketandusan barisan kepimpinan berwibawa yang dapat memainkan peranan di peringkat global.

Terdahulu, seramai 100 belia mengambil bahagian dalam program orientasi untuk ahli baharu bagi Pusat Belia AZAM atau Jiwa Muda Kuching selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Program dikenali sebagai #ayckickstart2014 itu turut merangkumi sesi pengenalan, ceramah mengenai topik-topik pembangunan oleh agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, sesi motivasi dan aktiviti berkumpulan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Datu Aloysius J. Dris, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia AZAM Md Ariff Irwani Azahari, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia AZAM Sarkawi Yassin dan Timbalan Pengerusi Pusat Belia AZAM Kuching Asyraf Hardy.
  

No comments:

Post a Comment