Monday 16 April 2012

Penduduk Kampung Empila bakal miliki sekolah rendah baharu


KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Empila, Samarahan bakal memiliki sekolah rendah baharu dalam masa terdekat ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut memberitahu bahawa tapak untuk pembinaan sekolah baharu berkenaan sudah dikenal pasti dan perancangannya sudah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran.

Namun, jelasnya ia masih lagi menunggu kelulusan daripada kementerian berkaitan dalam masa terdekat ini.

“Kampung Empila amat beruntung sekali kerana di Sarawak kita hanya mempunyai tiga sekolah amanah di mana satu daripadanya terletak di kampung ini.

“Malah, kita (kerajaan) juga telah merancang untuk membina sekolah rendah baharu di sini bagi memenuhi permintaan ekoran pertambahan jumlah penduduknya dan kita juga sudah mengenal pasti tapak untuk sekolah baharu itu,” katanya yang juga ADUN Asajaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Jom Berambeh Kampung Empila di sini semalam.

Program dua hari yang bermula 14 April itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan tarik tali, bola sepak menggunakan buah kelapa, baling buah kelapa dan banyak lagi.

Pada masa yang sama, Karim turut mengumumkan projek perancangan untuk meluaskan jalan di kampung itu.

“Kita sering mendengar rungutan penduduk di sini, malah termasuk juga guru-guru yang baharu mengajar di sini yang mengalami masalah ketidakselesaan sewaktu menggunakan jalan di kampung ini kerana kecil.

“Malah, ramai yang sudah terbabas akibatnya (jalan kecil di kampung itu) jadi kerajaan amat prihatin dengan masalah sebegini dan akan mencari jalan penyelesaian untuk masalah itu termasuk beberapa masalah lain seperti padang dan sebagainya,” ujarnya.
   

No comments:

Post a Comment