Wednesday, 4 April 2012

PBB Zon Tengah sambut baik seruan Karim agar Pemuda PBB lebih agresif


SIBU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah Sarawak menyambut baik seruan bekas Ketua Pemuda PBB Abdul Karim Rahman Hamzah, agar Pemuda PBB bertindak lebih agresif dalam membantu parti dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Pemuda PBB Cawangan Pelawan Mohd Junaidi Sambang berkata, barisan Pemuda PBB sudah agresif dari sudut menangkis dakwaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang sama ada secara terang-terangan ataupun melalui alam siber.

“Cuma kita agak terkilan suara peringkat Pemuda kurang mendapat pengiktirafan di peringkat atasan.

“Saranan tersebut memang bagus dan molek untuk Pemuda peringkat ranting dan cawangan untuk bergerak, tapi peringkat atasan pun mesti memainkan peranan yang besar, banyak bekerja dan jangan hanya pandai bercakap,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Menurut Junaidi, beliau juga agak terkilan bila tiba sahaja musim pilihan raya dan perhimpunan parti, barulah pihak atasan sibuk berhubung dengan Pemuda cawangan dan ranting serta meng-anjurkan pelbagai program.

“Sesiapapun boleh bercakap itu ini tanpa sebarang tindakan, yang kemudiannya tidak akan memberi erti atau manfaat kepada semua pihak.

“Yang penting adalah mencari resolusi bagaimana kita hendak mendekati rakyat di peringkat akar umbi serta memastikan sokongan tidak berbelah bagi dan terus bersama kita, ini yang penting,” katanya.
   
Untuk mencapai matlamat ini jelas beliau, perlu diadakan beberapa program bagi tujuan mendekati rakyat terutama golongan belia sambil menerangkan dasar-dasar pembangunan yang dibuat oleh kerajaan supaya mereka lebih faham, kerana apabila mereka faham ini secara tidak langsung akan membuahkan sokongan padu dan mantap kepada BN.

Junaidi juga berharap pihak Kementerian Pembangunan Sosial memberi tumpuan sewajarnya kepada program belia di kawasan luar bandar.

“Ini kerana di sinilah kawasan kubu kuat BN dan bukan hanya tertumpu di bandar sahaja seperti berlaku sekarang ini,” tambah beliau.

Ketua Pemuda PBB Cawangan Bukit Assek Abdul Hajis Abdullah turut menyokong kenyataan Abdul Karim terbabit sambil menyifatkannya sebagai memberi galakan dan semangat baharu kepada Pemuda untuk terus berjuang demi parti terutama di peringkat bahagian.

“Kenyataan itu memberi sema-ngat dan galakan kepada Pemuda di peringkat bahagian di seluruh Sarawak agar terus aktif, sebagai tulang belakang BN dan juga PBB,” ujarnya.

Menyentuh mengenai penggunaan internet dan media sosial lain bagi mendekati pengundi muda, Abdul Hajis berkata langkah tersebut sememangnya wajar dilakukan lebih-lebih lagi bagi berkomunikasi dengan belia atau pemuda.

“Selain internet, kita juga harus mendekati pemuda-pemuda ini secara bersemuka. Jika setakat menggunakan internet tanpa bersua muka, kesannya mungkin tidak begitu kuat berbanding berjumpa terus atau turun padang, selain melakukan banyak aktiviti yang berkaitan pemuda seperti aktiviti riadah.

“Mungkin dahulu mereka malu untuk sertai parti, namun kini dengan aktiviti yang dijalankan dan cara kita mendekati mereka, mereka berminat untuk kembali kepada parti,” jelas beliau.

Di samping itu jelas Abdul Hajis, setelah berjaya menarik minat belia-belia atau pemuda-pemuda ini, ini akan membuatkan golongan tersebut terus dan kekal bersama parti.

Menurut beliau, Pemuda PBB Zon Tengah banyak membuat program untuk menyatupadukan pemuda-pemuda, iaitu sebagai latar belakang atau platform bagi golongan tersebut. Ini termasuk pertandingan hadrah, autoshow dan sebagainya.

“Harapan kita adalah untuk membuat program besar-besar bagi menyahut seruan kerajan bagi mendekati para belia dengan berbagai-bagai aktiviti,” ujar Abdul Hajis sambil menambah hanya dengan cara itu golongan belia tidak lagi berasa terasing.
  

No comments:

Post a Comment