Saturday 22 June 2019

'Sarawak muflis', kenyataan bodoh daripada Menteri Kewangan - Abdul Karim


KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah membidas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bankrap jika terus ditadbir oleh GPS sebagai kenyataan yang bodoh yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang Menteri Kewangan.

“Tanpa Sarawak, Malaysia boleh bankrap (kerana tiada sumber pendapatan dari Sarawak). Sebagai Menteri Kewangan, dia patut tahu. Diharapkan kita jangan terpedaya (dengan kenyataan Guan Eng),” kata beliau.

Abdul Karim berkata Guan Eng patut tahu bahawa agensi penarafan antarabangsa telah memberi penarafan kredit baik kepada Sarawak sejak 15 tahun yang lalu.

Abdul Karim berkata sekiranya pengurusan kewangan negeri Sarawak tidak berhemah, ia tidak mampu untuk mengumpul wang simpanan kerajaan negeri sehingga mencecah RM30 billion.

“Walaupun hanya Sarawak menerima lima peratus (royalti minyak) sementara itu 95 peratus diberikan kepada Kerajaan Pusat, tetapi kita dapat menyimpan duit sehingga RM33 billion,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Tamah Raya dan Gawai Peringkat Daerah Asajaya di Kampung Tanjong Apong, hari ini.

Beliau turut berkata Kerajaan Sarawak tidak perlu bergantung dengan wang simpanan untuk membuat belanjawan negeri kerana Sarawak mempunyai pendapatan-pendapatan lain.

“Sejak Januari lepas, kita mengenakan lima peratus cukai (jualan) keatas minyak dan gas (untuk menambah pendapatan negeri).

“Cukai ini tidak membebankan rakyat” kerana ia dikenakan keatas pihak yang terbabit dalam kerja-kerja mengeluarkan minyak dari Sarawak, kata Abdul Karim.


Guan Eng, ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching malam tadi, mengingatkan rakyat Sarawak bahawa negeri ini mungkin bankrap dalam tempoh 3 tahun di GPS.

Beliau berkata, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa 3 tahun.

Guan Eng berkata, negeri itu mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.

“Mereka terpaksa meminjam wang daripada kerajaan persekutuan bagi membayar gaji kakitangan dan saya meluluskan RM20 juta untuk tujuan tersebut,” kata setiausaha agung DAP itu.

Bagaimanapun Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan tahun lepas bahawa hasil negeri bagi 2019 dijangka mencecah RM10.51 bilion, yang merangkumi cukai jualan ke atas produk petroleum sebanyak RM3.84 bilion.

Katanya, Sarawak juga boleh menaikkan cukai jualan ke atas produk petroleum berdasarkan perlembagaan negeri.

Guan Eng, ketika ditanya sama ada Kerajaan Persekutuan bersedia membayar cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sejak Januari, enggan menjawab.

Lim bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya sama ada Putrajaya bersedia membayar cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sejak Januari. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment