Monday 24 June 2019

Jabatan Perpaduan dipuji kerana letak kepentingan pupuk, jaga perpaduan masyarakat

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memuji Jabatan Perpaduan Bahagian Samarahan kerana meletakkan kepentingan untuk memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat Asajaya melebihi kepentingan politik.

Beliau berkata pendekatan seumpama itu sepatutnya diambil oleh semua jabatan atau agensi kerajaan persekutuan di Sarawak.

“Kerajaan Pusat mempunyai tanggugjawab utk menyatupadukan rakyat Malaysia.

“Dan kita mahu sesiapa sahaja yang mentadbir kerajaan pusat, mereka patut tahu bahawa perpaduan menjangkaui batasan politik,” kata Abdul Karim ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Peringkat Daerah Asajaya di Kampung Tanjong Apong.

Program tersebut dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tanjong Apong.

Beliau turut memberitahu perpaduan mesti dilihat dari perspektif yang lebih luas dan bukannya terhad kepada kaum dan negeri.

“Apabila kita berkata tentang perpaduan, kita tidak dapat melihat perpaduan sebagai terhad untuk satu kaum sahaja (atau) untuk orang Sarawak sahaja.”

“Perpaduan bermaksud melibatkan semua,” kata beliau.

Abdul Karim juga melahirkan harapan agar kakitangan Kerajaan Persekutuan mengamil pendekatan ‘di mana bumi dipihak, di situ langit dijunjung’ apabila mereka bertugas di Sarawak.

Beliau berkata setiap jabatan ataupun agensi Kerajaan Persekutuan yang ada di Sarawak mempunyai objektif untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

“Kita tidak mahu melihat pemimpin yang datang dari Semenanjung Malaysia dengan niat yang jahat (untuk merosakkan perpaduan dikalangan rakyat Sarawak),” katanya.

Menyentuh tentang penganjuran Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Peringkat Daerah Asajaya, Abdul Karim memuji usaha Jabatan Perpaduan Bahagian Samarahan, melalui KRT, untuk meneruskan usaha murni untuk mengekalkan dan memupukkan perpaduan dikalangan masyarakat Daerah Asajaya.

“Tahniah kepada Jabatan Perpaduan (Bahagian Samarahan) dan KRT kerana telah memainkan peranan baik dalam (daerah) Asajaya sehingga kita dapat melihat perpaduan antara kaum yang akrab sekali,” kata Abdul Karim yang juga merupakan ADUN Asajaya.

Program tersebut telah dihadiri oleh Pegawai Perpaduan Bahagian Samarahan Suzana Busalam, ketua-ketua masyarakat dan ahli-ahli KRT daerah Asajaya.

Penduduk Kampung Tanjong Apong turut hadir untuk memeriahkan program tersebut. -UtusanBorneo




No comments:

Post a Comment