SIMBOLIK: Karim pada Majlis Pengenalan Kalendar WAK 2018 di Old Court House, semalam. |
KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program What About Kuching (WAK) 2018 merupakan pelaburan dalam komuniti Kuching yang kreatif.
Belia berkata ini kerana WAK 2018 adalah festival yang dianjur sepenuhnya oleh komuniti untuk komuniti.
“Oktober ini khasnya bermula 29 September ini hingga 28 Oktober bakal menyaksikan Kuching menjanjikan suatu yang hebat untuk penduduk setempat dan pelancong.
“Saya difahamkan 76 acara daripada 50 penyedia kandungan sah diadakan sepanjang WAK 2018,” katanya pada Majlis Pengenalan Kalendar WAK 2018 di Old Court House di sini, semalam.
Menurut Karim, pada tahun ini kolaboratif baharu bakal disaksikan dengan artis jemputan akan membuat persembahan bersama bakat-bakat tempatan.
Selain itu katanya, WAK adalah segala-galanya mengenai Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan.
“Kita mahu melihat Kuching tempat yang menarik dan meriah dan kepelbagaian budaya untuk penduduk setempat serta pelancong asing, mentransformasikan Oktober sebagai bulan yang paling popular untuk pelancong datang ke sini.
“Saya teruja melihat kalendar sepenuhnya WAK 2018 seterusnya menyaksikan persembahan pelbagai seni yang pastinya menjanjikan pengalaman hebat kepada komuniti Kuching serta pelancong dari luar,” katanya.
Tahun ini WAK dianjurkan untuk kali kedua selepas penganjuran pertamanya pada tahun lalu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti setempat dan pelancong asing.
Pengarah WAK Donald Tan berkata, festival itu memfokus kepada kreativiti dalam komuniti Kuching sepanjang Oktober.
“Ini adalah kali kedua kami menganjurkan WAK yang merupakan festival tahunan ikonik yang meraikan seni, budaya dan warisan dalam cara yang inovatif,” katanya.
Tan menambah, antara objektif WAK ialah meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak amnya dan menyediakan landasan untuk profesional mempamerkan kelebihan masing-masing.
WAK 2018 akan berpusat di sepanjang Tebingan Kuching dan sekitar bandar raya Kuching serta sepanjang Sungai Sarawak.
Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian,Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment