KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu ‘post mortem’ dilakukan terhadap mana-mana sukan yang gagal memenangi pingat pada temasya SUKMA XIX Perak yang berakhir baru-baru ini.
“Kita mendapati sesetengah sukan bukan sahaja sukar memenangi pingat emas, malah pingat gangsa pun tidak dapat.
“Justeru, kita akan melakukan ‘post mortem’ untuk melihat di mana kesilapan sama ada daripada cara kita mengendalikan persatuan atau cara mencungkil bakat baharu,” katanya semalam.
Menurutnya, kutipan 42 pingat emas pada edisi kali ini tetap sesuatu yang boleh dibanggakan memandangkan atlet Sarawak berdepan dengan cabaran sengit daripada 14 negeri lain termasuk Brunei Darussalam.
Tambahnya, beberapa negeri yang dilengkapi dengan prasarana sukan juga telah menunjukkan peningkatan ketara pada SUKMA kali ini.
“Penganjuran SUKMA secara bergilir di negeri-negeri lain membolehkan mereka mempunyai fasiliti sukan yang lengkap dan baik sekali gus membantu melahirkan ramai atlet baharu.
“Kerana itu saya melihat persaingan pada SUKMA kali ini sangat sengit kerana ramai atlet baharu muncul.
“Apapun pencapaian Sarawak kali ini tetap sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Sudah tentu harapan kita untuk menjadi juara dan begitu juga kontinjen lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 di sini semalam.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan memutuskan jumlah insentif yang akan diberikan kepada pemenang pingat dalam masa terdekat. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment