Thursday 16 November 2017

RWMF tahun ini tarik 180 media antarabangsa, 50 bloger

November 16, 2017

KUCHING: Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) tahun ini telah menarik 180 media antarabangsa dan 50 bloger dari seluruh dunia dengan nilai media berjumlah RM5 juta, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, selain jualan tiket masuk berjumlah RM959,885, jumlah hasil langsung yang diterima daripada jualan kraf tangan adalah RM100,000 sementara jualan makanan dan minuman direkodkan sebanyak RM181,500.

“Secara keseluruhan, festival ini mencatat kejayaan berdasarkan hasil daripada tinjauan yang dijalankan menyatakan bahawa 84 peratus penonton berpuas hati berbanding 78 peratus tahun sebelumnya,” kata Karim.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Karim berkata, acara dan festival sentiasa menjadi faktor tarikan untuk pelancongan domestik dan luar negeri dan pada masa sama, menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

Misalnya RWMF Edisi Ke-20 diadakan di Kampung Budaya Sarawak dari 14 hingga 16 Julai lalu, kata Karim, kementerian bersama Lembaga Pelancongan Sarawak mengambil pendekatan berbeza dan memberi nilai tambah dengan turut meng- anjurkan Rainforest Fringe Event selama satu minggu sebelum acara utama festival tersebut.

“Dalam siri yang lalu, festival itu hanya terhad di Kampung Budaya Sarawak sahaja dan ramai beranggapan bandar raya Kuching tidak merasakan kehangatan suasana festival itu.

“Justeru kita telah meng-anjurkan Rainforest Fringe Festival sempena RWMF tahun ini, dengan matlamat utama melibatkan dan membawa kehangatan acara festival ini,” katanya.

Karim berkata untuk makluman, tahun ini RWMF berjaya merekodkan 19,382 penonton berbanding 18,300 tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah ini, 30 peratus merupakan penonton daripada kalangan bukan orang Malaysia. Sementara jualan tiket meningkat sebanyak 30 peratus daripada RM959,885 tahun sebelumnya,” tambah beliau. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment