Tuesday, 27 June 2017

Pembatalan lawatan 3,000 pelancong China ke Malaysia membimbangkan: Karim


KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pembatalan lawatan 3,000 pelancong China ke Malaysia sebaliknya memilih Thailand sebagai destinasi pilihan adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Ini seperti apa yang dimaklumkan oleh Persatuan Hotel Malaysia kepada saya dan ini jugalah kenapa saya mahu pelaksanaan Cukai Pelancongan (TT) ditangguhkan dan tidak terlalu tergesa-gesa untuk dilaksanakan.

“Saya mahu meminta tempoh tarikh penguatkuasaannya (TT) ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang mengatakan pelancong China tersebut membatalkan lawatan ke Malaysia atas alasan mereka terpaksa membayar TT yang dianggar bernilai RM100,000.

Abdul Karim memberitahu, pada minggu depan beliau akan pergi ke Sabah untuk perbincangan yang lebih baik berhubung cukai kontroversi bagi pendekatan bersama bagi Sabah dan Sarawak.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg) semalam (25 Jun).

“Ia adalah alasan kukuh pelaksanaan TT ini perlu ditangguhkan seperti dalam kenyataan saya pada awalnya,” jelasnya.

Katanya lagi, penangguhan pelaksanaan TT itu bukanlah bertujuan untuk membangkang pelaksanaannya tetapi sebaiknya rundingan dilakukan terlebih dahulu kerana ia juga memberi kesan kepada negeri ini.

Jelas Abdul Karim, beliau juga tahu, kebanyakan negara luar turut melaksanakan cukai tersebut, tetapi terlalu tergesa-gesa dalam pelaksanaannya juga pasti akan memberi kesan.

“Selain itu, banyak juga pakej percutian yang telah diatur ketika Ekspo MATTA pada Februari dan Mac lalu yang mana ia masih sah sehingga 31 Disember ini.

“Tetapi siapa yang mahu menanggung bayaran ‘ekstra’ bagi TT ini? Selain itu, kaedah kutipan dan agihan cukai tersebut juga belum dimuktamadkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim bersetuju bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai pendirian sendiri berhubung perkara tersebut dan menjangkakan rundingan antara dua negeri ini akan berakhir pada penghujung Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, berhubung pelaksanaan cukai tersebut seperti yang diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, hanya tinggal lima hari sahaja lagi (1 Julai).

“Semua pemain industri dan perhotelan tidak di-maklumkan mengenai mekanisme bagaimana cukai ini akan dilaksanakan dan beberapa perkara berkaitan lain...mungkin beliau (Nazri) sebagai menteri ve-teran boleh menjelaskan kepada kita mengenai perkara ini,” ujarnya. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment