Thursday 12 January 2017

Victor Far East Malaysia Masters bakal beri impak positif: Karim


SIBU: Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters 2017 berlangsung di sini dari 17 hingga 22 Januari ini bakal memberikan impak positif terhadap industri sukan dan pelancongan di Sibu.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lebih 20 buah syarikat penerbitan media antarabangsa dan tempatan, wartawan serta jurugambar sukan luar negara berkampung di Sibu bagi memberikan liputan.

“Kejohanan ini merupakan kejohanan terbesar pertama diadakan pada tahun ini oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Ia juga merupakan kejohananan peringkat antarabangsa pertama pernah dianjurkan di Sibu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau menambah, penganjuran per tandingan tersebut adalah sempena Tahun Melawat Sibu (TMS) 2017.

Menurut Abdul Karim, penganjuran kejohanan berprestij itu merupakan peluang terbaik mempromosikan produk pelancongan di Sarawak.

“Seramai 280 peserta dari 16 buah negara mengambil bahagian pada kejohanan menawarkan hadiah berjumlah USD120,000 (RM530,000).

“Jika peserta terbabit membawa ahli-ahli keluarga, pengurus pasukan dan penyokong kita menjangkakan bilangan pengunjung bertandang ke Sibu sepanjang kejohanan itu meningkat,” jelasnya.

Beliau berkata, selain rakyat berbilang kaum hidup dalam keadaan aman dan damai Sarawak juga mempunyai pelbagai produk pelancongan untuk diketengahkan.

Abdul Karim memberitahu beberapa jaguh badminton dunia termasuk pasangan beregu campuran negara juga pemenang pingat perak Olimpik Rio, Barzil 2016 – Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying mengambil bahagian.

Peserta luar negara mengambil bahagian termasuk pemain nombor sembilan dunia, Angus Ng dari Hong Kong, Saensomboosuk Tanongsak (Thailand) dan Lee Yun II (Korea Selatan). -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment