Tuesday, 24 March 2015

Hudud: Semua pihak harus buat keputusan

March 24, 2015

JEMPUTAN RASMI: Sulok (tiga kiri) menyerahkan surat jemputan bagi perasmian Hari Sukan MLNG/KDJA kepada Karim (tengah). Turut kelihatan Johannes (tiga kanan) serta ahli-ahli jawatankuasa eksekutif KDJA.

Jangan biarkan hanya beberapa Ahli Parlimen atau ADUN menentukan pelaksanaannya bagi semua orang

KUCHING: Jangan membiarkan hanya beberapa Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menentukannya bagi semua orang.

Demikian pandangan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah merujuk kepada pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata untuk melaksanakan enakmen tersebut, semua pihak harus melihat sama ada ia dapat diterima dengan baik atau tidak oleh keseluruhan rakyat terlebih dahulu.

“Jika mahu mengubahnya, mungkin ia perlu melalui referendum… jangan membiarkan hanya beberapa Ahli Parlimen atau ADUN menentukannya bagi semua orang.

“Kita harus melihat sama ada ia dapat diterima dengan baik atau tidak terlebih dahulu dan jika tidak, maka kita harus terus berpegang kepada sistem undang-undang yang telah kita amalkan selama ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menambah, adalah tidak perlu untuk sistem undang-undang negara yang diamalkan selama ini diubah kerana ia adalah masih relevan dan baik.

“Bagi saya, untuk mengatakan undang-undang (Islam atau bukan Islam) perlu diamalkan, adalah tidak wajar juga kerana sama ada dalam Islam, apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh ummahnya, maka ia menjadi baik di mata Tuhan dan begitu juga bagi agama lain.


“Malahan pada masa ini, saya merasakan sistem sedia ada yang diamalkan selama ini adalah baik… jadi mengapa ia perlu diubah?” katanya.


Dalam pada itu, ADUN Asajaya itu berkata apa sahaja sistem undang-undang sama ada sistem kerajaan atau sistem undang-undang jenayah sama ada melibatkan agama Kristian atau Islam adalah diperkenalkan di tempat di mana demokrasi diamalkan dan ia adalah menjurus kepada kebaikan.

“Di Sarawak, kita mempunyai hukum adat sendiri dan semuanya juga menjurus kepada kebaikan untuk memastikan terdapatnya sistem kerajaan iaitu satu hukuman terhadap orang yang melakukan kesalahan undang-undang.

“Begitu juga dalam Islam di mana hudud adalah baik jika semua orang menerimanya kerana ia tidak menyalahi undang-undang Islam… jika ia diterima dengan baik, mengapa tidak tetapi dari sisi lain, di Malaysia kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Selain itu, Karim berkata pemimpin terdahulu juga telah memperkenalkan sistem Islam di Malaysia dan sebab itulah terdapatnya Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas apakah sistem kerajaan.

“Sistem tersebut juga telah membuatkan kita hidup di dalam sebuah negara yang aman selama lebih 50 tahun.

“Mengapa perlu untuk kita mengubahnya secara drastik,” katanya.

Terdahulu, Karim menerima kunjungan hormat daripada Malaysian Liquified Natural Gas (MLNG) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di pejabatnya, Wisma Perumahan di sini.

Kunjungan hormat tersebut adalah untuk menjemput Karim sebagai tetamu kehormat merasmikan Hari Sukan MLNG/KDJA pada 13 Jun nanti.

Hadir sama wakil MLNG Johannes Ridu, Pengerusi KDGA Sulok Tawie serta ahli-ahli jawatankuasa eksekutif KDJA.

No comments:

Post a Comment