Friday, 18 October 2013

Ibadah korban semarak semangat gotong-royong


KOTA SAMARAHAN: Ibadah korban bukan sahaja dilihat dapat menyemarakkan amalan bersedekah, malah memupuk semangat gotong-royong di kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Menteri Muda Pembangun Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ibadah korban dapat menyatukan penduduk kampung menerusi kerjasama yang dijalankan semasa melakukan penyembelihan dan melapah daging korban.

“Kerjasama masyarakat Islam dalam membantu memudahkan ibadah korban secara tidak langsung mengukuhkan silaturahim sesama kita,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ibadah Korban di Sekolah Rendah Kampung Melayu di sini, semalam.

Seramai 68 orang menerima daging korban pada majlis tersebut yang turut dihadiri Guru Besar Ismail Ibrahim, Penghulu Kampung Melayu Sabu Keria dan Ketua Kaum Kampung Bangka Semong Latip Tadis.

Pada masa sama, Karim berkata, sumbangan daripada individu yang berkemampuan dapat menyemarakkan lagi ibadah korban yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidiladha setiap tahun.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, setiap tahun jumlah mereka yang menghulurkan sumbangan dari segi wang ringgit dan lembu untuk menjayakan ibadah korban semakin meningkat.

Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan bahawa ekonomi masyarakat semakin berada di paras yang baik.

“Kita berharap akan tampil lebih ramai individu yang berkemampuan untuk menjayakan ibadah korban di kawasan perkampungan pada tahun akan datang,” katanya.

Malah, beliau memberitahu melaksanakan ibadah korban bagi golongan yang berkemampuan merupakan tuntutan dalam agama Islam.

“Penghayatan makna sebenar korban memberi pengertian yang cukup besar kepada umat Islam, selain membolehkan mereka beramal dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Menurutnya, masih banyak golongan yang memerlukan bantuan dan perhatian di negeri ini.
   

No comments:

Post a Comment