KUCHING: Belanjawan 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas dilihat sebagai satu inti pati belanjawan yang menyeluruh dalam usaha menggerakkan pembangunan negara memandangkan semua sektor di negara ini menerima bahagian masing-masing.
Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui berkata, belanjawan itu menjadi salah satu usaha kerajaan untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
“Melihat belanjawan yang baharu dibentangkan oleh Najib pada Jumaat lepas, saya dapat lihat ia sebagai satu belanjawan yang menyeluruh untuk mengembang serta membangunkan Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
“Selain itu, saya turut bersyukur dengan pembentangan seimbang tersebut kerana setiap sektor di negara ini mendapat bahagian mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, tidak ketinggalan buat Sarawak yang turut merasai peningkatan belanjawan daripada pelbagai aspek terutama di bawah aspek hartanah dan pemilikan perumahan.
“Kita di Sarawak turut merasai inti pati yang ditekankan dalam pembentangan belanjawan yang lepas sama ada dari segi penyukatan tanah-tanah adat mahupun naik taraf keperluan yang lain.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, peruntukan sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi tanah-tanah adat tersebut selain tiga lapangan terbang akan dinaik taraf iaitu di Mukah, Sibu dan Miri,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu peruntukan perumahan di negeri ini, Karim berkata penekanan tinggi turut diberikan kepada peruntukan khas bagi rumah mampu milik, rumah kos rendah, rumah kos sederhana, rumah mesra dan rumah prima.
Ia ditakrifkan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memudahkan rakyat yang ingin memiliki rumah.
Selain itu, beliau turut menyambut baik kenaikan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) yang dibentangkan begi mengurangkan spekulasi isu hartanah dalam mengekalkan harga semasa tanah dan perumahan.
Tambahnya, pemilikan hartanah bagi warga asing di negara ini juga menjadi perhatian pihak kerajaan dalam usaha mengawal harga jualan rumah dan tanah.
“Kalau sebelum ini warga asing dibenarkan membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah, akan tetapi selepas pembentangan Belanjawan 2014, nilai tersebut dinaikkan sebanyak RM1 juta dan tidak kurang daripada jumlah tersebut bagi warga asing yang ingin memiliki hartanah di Malaysia.
“Ia sebagai langkah mengawal harga jualan rumah dan tanah memandangkan pesaing tidak begitu besar,” katanya.
Walaupun bersetuju dengan kenyataan perbandingan harga rumah di Sarawak yang dikatakan lebih tinggi berbanding harga rumah di Semenanjung Malaysia, bagaimanapun Karim berkata, ia adalah ekoran harga bahan keperluan pembinaan yang lebih tinggi di sini.
Ia turut mendapat perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2014 yang lepas dengan adanya peruntukan subsidi bagi rumah mampu milik mahupun apa sahaja jenis perumahan yang diperuntukkan subsidi oleh kerajaan yang ternyata lebih sedikit berbanding subsidi bagi rumah bagi rakyat Semenanjung Malaysia.
No comments:
Post a Comment