Tuesday, 3 May 2011

Telaga Air dikenal pasti destinasi rumah kekal KBS

May 3, 2011

SANTUBONG: Kelab Bot Sarawak (KBS) mengenal pasti Telaga Air sebagai destinasi rumah kelab kekal untuk KBS yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden memancing.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat sementara ini KBS ditempatkan di bawah Jambatan Santubong yang kini dalam keadaan uzur akibat air masin.

“Kami telah mengenal pasti empat lokasi tanah di Telaga Air yang sesuai dijadikan rumah kelab ini dan apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah mengemukakan permohonan,” katanya pada majlis perasmian pertandingan memancing di sini baru-baru ini.

Karim berkata, rumah kelab baru itu nanti juga akan menjadi platform bagi KBS menganjurkan aktiviti di peringkat yang lebih tinggi di Sarawak.

Tambahnya, Telaga Air adalah tempat yang sesuai bagi kaki pancing kerana kedudukannya yang strategik.

“Di sini (Telaga Air) mudah dikunjungi oleh kaki-kaki pancing kerana sistem jalan rayanya sudah elok dan berdekatan dengan laut,” katanya.

Pada masa yang sama Karim menegaskan bahawa ia merupakan tugasan yang besar bagi KBS untuk mengenal pasti lokasi tepat bagi menambah dana untuk membina kemudahan itu nanti.

“Kami benar-benar memerlukan sokongan dan sumbangan daripada kerajaan untuk memastikan projek ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau turut memberitahu dengan mempunyai lebih 300 ahli, ia belum memadai untuk mencapai sasaran itu.

Selain itu, Karim berkata kaki pancing semakin bertambah dan menjadi hobi di kalangan masyarakat pada masa kini.

“Kita boleh lihat di mana-mana jambatan, pasti ada sekumpulan kaki pancing memancing di situ,” katanya sambil menambah ia merupakan ‘aktiviti hilangkan tekanan’.

Sementara itu, seramai 80 kaki pancing yang menggunakan 21 bot menuju ke Tanjung Dato untuk menyertai pertandingan memancing yang dianjurkan oleh kelab itu semalam.

Pertandingan itu dibahagikan kepada 10 kategori dengan setiap kategori akan memenangi wang tunai RM2,000 (johan), RM1,000 (naib johan) dan RM500 bagi tempat ketiga.

Ia ditaja oleh Abadi Motors Sdn Bhd, Angler’s Tackles, Liansin Trading Sdn Bhd, Mutiara Trophy, Tabuan Furniture and Ted Far Development Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment