“Tetapi kenapa pula kabinet bayangan ini meletakkan Wong Ho Leng sebagai Ketua Menteri?" Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah
Kabinet bayangan bukan perkara baru tetapi ‘menteri-menteri’ pembangkang mesti berkelakuan baik
KUCHING: Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri James Masing berkata pembentukan kabinet bayangan bukan perkara baru tetapi ‘menteri-menteri’ pembangkang mesti berkelakuan baik.
Beliau berkata usaha Pakatan Rakyat (PR) itu akan menggambarkan perkara yang bakal mereka lakukan sebagai menteri jika mereka mengambil alih kerajaan.
“Jika mereka rasional ketika hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) maka anda (rakyat) akan mempunyai menteri yang rasional.
“Sekiranya mereka berkelakuan seperti (menteri) monyet, maknanya anda (rakyat) akan menjadikan monyet sebagai pemimpin,” katanya semalam, apabila diminta mengulas tindakan PR menubuhkan kabinet bayangan.
Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata beliau percaya pengundi cukup bijak dalam memilih pemimpin untuk memimpin serta mentadbir mereka.
Mengulas lanjut mengenai kabinet bayangan yang diketuai pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng, Masing berkata: “Ia berlaku dalam banyak negara, yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
“Pemimpin pembangkang lazimnya adalah Ketua Menteri yang tidak rasmi. Dalam kes ini Ketua Menteri tidak rasmi itu ialah Wong Ho Leng.
“Setiap kementerian bayangan termasuk ‘Ketua Menteri’ akan melaksanakan portfolio masing-masing. Rakyat akan menilai mereka,” ujar ADUN Baleh itu.
Sementara itu Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berpendapat sebaliknya.
Beliau mendakwa barisan pembangkang sekarang telah ‘memperolok-olokkan’ peranannya.
“Saya fikir Pakatan sebelum ini telah mengatakan Baru Bian (ketua perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri) adalah pilihan mereka sebagai ‘Ketua Menteri’ (atau pemimpin negeri pembangkang).
“Tetapi kenapa pula kabinet bayangan ini meletakkan Wong Ho Leng sebagai Ketua Menteri? soalnya.
Karim yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, juga mempersoalkan sama ada pembangkang terlalu terdesak sehingga melantik Pesuruhjaya PAS Negeri Adam Ahid sebagai ‘menteri bersama’ Hal Ehwal Agama dan Perpaduan walaupun beliau tidak dipilih rakyat.
Adam adalah menteri bayangan yang berkongsi portfolio dengan ADUN Krian Ali Biju daripada PKR.
Karim berkata: “Dan siapa itu Haji Adam yang mereka lantik sebagai menteri bersama untuk agama dan perpaduan?
“Jika itu orang yang dilantik dan ditempatkan dalam kabinet bayangan ini, adakah ia hanya untuk menjaga hati orang Melayu atau Islam kerana kabinet bayangan amat jelas mewakili satu kumpulan etnik sahaja?”
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap ADUN Asajaya itu menyifatkan kabinet bayangan PR itu sebagai ‘kabinet yang menipu dan rasis’.
“Ia memperolok-olokkan komposisi pelbagai etnik di Sarawak… saya tidak pasti sama ada Baru dan Ali Biju akan menerima tawaran dalam kabinet bayangan yang yang rasis ini,” tambah beliau lagi.Kabinet bayangan bukan perkara baru, wakil pembangkang mesti berkelakuan baik: Masing
No comments:
Post a Comment