KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata rakyat Sarawak sejati tidak akan mengkhianati atau menjadi pengkhianat kepada Sarawak.
Sama ada rakyat Sarawak itu pribumi, Melayu atau Cina katanya, mereka akan setia kepada negeri ini.
"Lihatlah penganjur-penganjur dan pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak, rata-rata adalah ahli parti komponen GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang 'dukacita' atau 'usahawan' yang tidak peduli siapa yang mentadbir negeri Sarawak.
"Mereka berharap boleh mendapat kontrak kerajaan persekutuan daripada kerajaan yang baharu.
Visit Sarawak Campaign |
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelancaran BERSATU Sarawak yang disempurnakan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad di Bintulu malam tadi.
Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata Dr Mahathir dan pasukannya yang datang ke Bintulu semalam boleh melihat dengan jelas ratusan tempat duduk di dalam Dewan Suarah Bintulu, kosong.
Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan dakwaan penganjur tempatan yang mengatakan BERSATU mendapat ramai keahlian baharu seperti 'salji turun'.
"Kita lihat nanti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sama ada rakyat Sarawak kekal rakyat Sarawak yang sebenar, setia kepada parti politik berasal dari Sarawak.
"Atau adakah mereka akan menjual jiwa raga mereka kepada parti politik berasal dari Malaya (Semenanjung Malaysia)," ujarnya.
Dr Mahathir ketika berucap berkata Sarawak sepatutnya sudah menjadi antara negeri termaju di Malaysia sekiranya Kerajaan Sarawak memanfaatkan sepenuhnya hasil serta kekayaan dengan baik.
Bagaimanapun ujarnya, agak mengecewakan kerana meskipun sudah lebih 50 tahun menyertai Malaysia, taraf kehidupan di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar, rata-ratanya masih lagi daif serta ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di negara ini.
"Saya dapat merasakan sesuatu yang tidak telus dan terdapatnya ketirisan dalam pengurusan serta pengagihan kekayaannya sehingga gagal menyelesaikan masalah kemiskinan di negeri ini sejak dahulu hingga sekarang," ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Beliau juga berkata kehadiran BERSATU di Sarawak adalah atas kehendak rakyat pribumi (Bumiputera) negeri ini yang merasakan hanya parti itu memahami tahap kehidupan dan melindungi hak mereka.
Tambahnya, pada asalnya parti itu tidak bercadang datang ke Sarawak tetapi akhirnya ia tetap melebarkan sayapnya ke negeri ini, atas pemintaan dan tuntutan rakyat Sarawak sendiri.
"Sebab kita sedar bahawa orang pribumi masih berasa tidak senang dengan taraf hidup mereka, kemajuan mereka dan peranan mereka dalam politik negara.
"Mereka berpendapat hanya BERSATU sahaja boleh memperjuangkan hak mereka," katanya. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment