Thursday, 14 December 2017

Karim sedih Khairy buat keputusan yang kejam

December 14, 2017

SIAP SEDIA: Pasukan pancaragam PDRM membawa bendera SukSar semasa raptai pembukaan kejohanan itu di Stadium Tertutup, Petra Jaya semalam.

Keputusan Khairy gugur tiga sukan dari sukan teras tidak ambil kira pandangan negeri-negeri terlibat SUKMA

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berasa amat sedih dengan keputusan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggugurkan sepak takraw, angkat berat dan taekwondo daripada senarai sukan teras termasuk pada SUKMA 2018 di Perak.

Menurutnya, beliau hairan bagaimana keputusan ini dibuat sedangkan negerinegeri sudah dipanggil bermesyuarat dan keputusan muktamad telah dibuat awal tahun ini tentang sukansukan yang akan dipertandingkan pada SUKMA Perak 2018.

“Negeri-negeri termasuk Sarawak sudah mengatur persiapan dengan mengadakan pencarian atlet, menghantar mereka untuk pendedahan dalam pertandingan di luar dan dalam negeri, menyewa premis untuk latihan dan tempat tinggal untuk atlet dari kawasan pedalaman yang dipilih.

“Ini termasuk mengadakan pertandingan peringkat negeri dan antarabangsa untuk memberi pendedahan kepada atlet-atlet dan untuk Sarawak dengan memasukkan sukansukan ini dalam SukSar (Sukan Sarawak) , hanya untuk menerima tamparan dengan keputus an yang langsung tidak memikirkan pandangan negeri-negeri yang terlibat dalam SUKMA.

“Ini adalah keputusan yang amat kejam terhadap atlet-atlet dan sukan yang digugurkan,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Karim turut membidas alasan diberikan Khairy sebagai tidak munasabah dengan meletakkan isu pembabitan atlet dengan dadah dan pentadbiran persatuan sukan tidak teratur sebagai punca keputusan drastik itu diambil.

Tegasnya, jika ada atlet yang terlibat dengan dadah perangsang, ambil tindakan terhadap atlet tersebut tetapi jangan bunuh sukan terbabit kerana ramai yang lain bersih dan telah berlatih begitu lama.

“Kalau persatuan sukan pusat tidak teratur, jangan anggap persatuan sukan di negeri-negeri juga bermasalah dan dirangkum sama untuk dihukum.

“Ia amat memalukan dan ‘demoralising’ semangat atlet-atlet dalam ketiga jenis sukan ini,” tegas Karim lagi.

Sementara itu, Ketua KARIM Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee menyifatkan keputusan Khairy mengehadkan aktiviti tiga sukan berkenaan dalam pelbagai program Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan sebagai tidak wajar kerana ia akan menjejaskan program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Beliau boleh menghukum badan kebangsaan dengan tidak menghantar atlet tiga sukan berkenaan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA, Komanwel atau sebagainya.

“Tetapi adalah t idak wajar jika program pembangunan peringkat akar umbi turut dihadkan kerana ia akan menjejas usaha kita melahir lebih ramai atet pelapis,” katanya ketika ditemui semasa raptai pembukaan Sukan Sarawak (SukSar) 2017 di Stadium Tertutup, Petra Jaya semalam.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) menegaskan keputusan Khairy itu juga sedikit sebanyak menjejas peluang Sarawak untuk merampas kembali kejuaraan pada SUKMA 2018 di Perak.

Ini kerana acara taekwondo dan angkat berat sentiasa menjadi penyumbang utama pungutan pingat emas Sarawak pada temasya dwitahunan itu.

“Kita bakal kehilangan peluang untuk mengutip 30 hingga 40 pingat emas jika acara taekwondo dan angkat berat tidak dipertandingkan pada SUKMA 2018.

“Apapun, kita akur dengan keputusan yang telah dibuat dan terpaksa melihat kepada sukan-sukan lain yang boleh ditingkatkan dan dapat menyumbang lebih banyak pingat emas,” katanya.

Khairy dalam satu majlis di ibu negara kelmarin mengumumkan pengguguran sukan angkat berat berikutan masalah doping atletnya manakala sukan taekwondo dan sepak takraw turut digugurkan kerana penurunan prestasi.

No comments:

Post a Comment