Saturday, 18 March 2017

Lima bahagian Sarawak dipilih lokasi Larian Obor Sukan SEA

May 18, 2017

LARIAN OBOR: Karim (tengah) mempengerusikan sidang media bersama Snowdan (kiri) dan Abdul Haris di Bangunan Baitulmakmur semalam.
KUCHING: Sebanyak lima bahagian negeri ini dipilih sebagai lokasi Larian Obor Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para Asean Ke-9 2017 Peringkat Negeri Sarawak yang akan bermula dari 8 hingga 13 Jun.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara ikonik itu akan bermula dari utara negeri iaitu di Lawas, Limbang pada 8 Jun melibatkan larian sejauh 7km.

Ia kemudian diterbangkan ke Mulu, Miri pada 10 Jun melibatkan larian sejauh 5km dan diteruskan keesokan harinya (11 Jun) di Sekuau, Sibu sejauh 8km.

“Larian diteruskan merentasi jambatan terpanjang di Malaysia iaitu Jambatan Batang Sadong di Simunjan (Samarahan) pada 12 Jun melibatkan larian sejauh 11km.

“Dari Samarahan ia dibawa ke lokasi terakhir iaitu Petra Jaya, Kuching pada 13 Jun melibatkan larian sejauh 6km sebelum diterbangkan ke Perlis pada 14 Jun,” katanya pada sidang media semalam.

Karim sendiri akan menyempurnakan penyerahan rasmi obor larian kepada negeri Perlis pada 15 Jun.

Menurutnya, larian itu diadakan bagi mempromosi temasya Sukan SEA Ke-29 yang akan berlangsung Ogos depan di Kuala Lumpur.

Ia diadakan di semua negara ASEAN yang terlibat dalam sukan tersebut termasuk semua negeri di Malaysia.

“Tujuan utama untuk memberi peluang kepada penduduk setempat merasai bahang Sukan SEA selain memperkenalkan penajapenaja yang terlibat dalam penajaan kejohanan ini.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengetengahkan keindahan tempat-tempat di Malaysia khususnya di Sarawak seperti rumah panjang, Gunung Mulu dan sebagainya.”

Tambahnya, beberapa atlet tempatan yang telah mengharumkan nama negara diberi penghormatan sebagai pembawa obor.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk setempat akan memberikan sokongan padu dalam turut serta memeriahkan larian itu nanti.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Haris Ishak.

Sukan SEA akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos 2017 sementara Sukan Para ASEAN diadakan dari 17 hingga 23 September 2017. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment