BINTULU: Golongan belia boleh mengemukakan apa juga isu dalam sesi `Town Hall’ bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sempena acara kemuncak pelancaran sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah pada 13 Jun ini.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) merangkap pengerusi bersama jawatankuasa induk sambutan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan itu akan membolehkan kerajaan mengetahui sedikit sebanyak mengenai kemahuan dan keperluan belia bandar dan luar bandar negeri ini.
Katanya, sesi itu akan membincangkan apakah masalah dan harapan belia memandangkan golongan itu merupakan aset penting dalam pembangunan negara.
“Sesi diskusi itu tidak akan memfokuskan kepada satu-satu isu sahaja sebaliknya terpulang kepada isu dan persoalan yang dikemukakan oleh belia. Sebab itu Ketua Menteri bersetuju terlibat dalam sesi tersebut dan berkomunikasi secara langsung dengan belia mengenai apa sahaja masalah dihadapi belia di negeri ini,”katanya dalam sidang media di Wisma Residen semalam.
Beliau berkata, golongan belia terlibat dalam sesi tersebut disertai belia seluruh Sarawak termasuk ahli-ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), partipolitik, pelajar universiti dan lain-lainnya.
Menurutnya, sesi `Town Hall’ itu juga bukan hanya berakhir pada hari tersebut sebaliknya akan diteruskan di tempat lain sehingga penghujung tahun ini.
Katanya, ia cara terbaik membolehkan kerajaan dan agensi terlibat mengetahui apa tindakan yang boleh dilaku bagi memenuhi keperluan dan kehendak belia negeri ini terutama keperluan dalam prasarana sukan, ekonomi, sosial dan sebagainya.
“Dalam sesi itu, urus setia akan mencatat data yang dikemuka belia untuk tindakan lanjut,” ujarnya sambil menambah sesi tersebut merupakan yang julung kali diadakan bersama Ketua Menteri Sarawak.
Abdul Karim berkata, kerajaan negeri turut bersetuju melanjutkan program belia sempena Hari Belia yang bertemakan `Belia Tonggak Transformasi Negara’ itu sehingga penghujung tahun ini dengan menyedia peruntukan bukan sahaja berpusat di Bintulu bahkan di bahagian lain dari Tanjung Datu hingga ke Lawas.
“Kami menjangka seramai 700 hingga 1,000 belia menyertai sesi `Town Hall’ tersebut dan majlis pelancaran pula bakal dihadiri 7,000 belia seluruh Bintulu dan wakil belia bahagian lain,” katanya.
Jelasnya, sambutan Hari Belia anjuran Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak (KPS), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak dan lain-lain turut dibantu Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta agensi-agensi kerajaan lainnya.
Sementara itu, timbalan pengerusi bersama merangkap Setiausaha Agung SABERKAS Negeri Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SABERKAS menggerak 71 cawangan negeri ini dengan sokongan KPS dan JBS Sarawak untuk terlibat dalam aktiviti penganjuran Mini Karnival Belia di Tatau dan Sebauh serta mengadakan Perkampungan Belia di Kampung Assyakirin pada Ogos hingga Disember termasuk gotong-royong serta program motivasi untuk Bintulu dan bahagian lain.
“Penyertaan itu penting untuk memastikan belia sebagai pemimpin pelapis masa depan dapat bersama-sama kerajaan dan pemimpin memain peranan dalam pembangunan negeri ini,” katanya sambil menambah SABERKAS mempunyai keahlian teramai di Sarawak.
Katanya, mereka juga akan mengambil bahagian dalam pameran SABERKAS dengan menyedia kaunter khas pendaftaran keahlian baharu untuk belia berumur 15 tahun ke atas.
Turut hadir dalam sidang media itu, timbalan pengerusi bersama sambutan Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak, Hassan Busu; Ketua penyelaras sambutan, Paul Kawin Pipo dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi.
No comments:
Post a Comment