Monday 29 June 2015

Jangan sampai negeri, negara berpecah: disebabkan tarikh Julai 22

June 29, 2015


Motif gerakan Sarawak for Sarawakians anjur perarakan memperingati kemerdekaan Sarawak diragui

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meragui motif rancangan gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) untuk menganjurkan perarakan bagi memperingati kemerdekaan negeri ini pada 22 Julai depan.

Karim yang dihubungi semalam berkata, meskipun beliau bersetuju bahawa kita tidak seharusnya melupakan tarikh penting ini namun pada masa yang sama kita harus memastikan bahawa negeri dan negara ini tidak berpecah belah disebabkan tarikh ini.

“Kita di Sarawak ini telah mengambil 16 September sebagai tarikh kemerdekaan kita dalam Malaysia dan tarikh ini harus diberi keutamaan.

“Malah di Amerika Syarikat (AS), tidak semua 52 atau 53 negerinya mendapat kemerdekaan serentak tetapi satu tarikh umum telah dikenal pasti sebagai tarikh rasmi bagi hari kemerdekaan AS,” katanya.

Tambah Karim yang juga Menteri Muda Perumahan, gerakan S4S dan aktivis Peter John Jaban selaku pengerusi penganjur seharusnya tidak bersikap terlalu emosional terhadap tarikh 22 Julai melainkan mereka ada motif tersembunyi yang lain.

“Saya berharap tiada motif terselindung di sebalik rancangan S4S dan Peter John untuk menganjurkan perarakan ini pada 22 Julai nanti.

“Nasihat saya, demi kepentingan perpaduan kita seharusnya hanya menyambut 16 September sebagai tarikah kemerdekaan kita dalam Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Peter pada sidang media mengenai perarakan itu kelmarin berkata ia akan bermula dari foyer Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) ke Padang Merdeka di sini.

Dijangka lebih 5,000 peserta akan menyertai perarakan tersebut bagi memperingati kemerdekaan negeri ini daripada koloni British pada 22 Julai.

Perarakan tersebut turut akan disertai konvoi kereta, basikal, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda bagi mengiringi peserta perarakan ke Padang Merdeka.

Peter turut memberi jaminan bahawa perarakan tersebut adalah menepati Akta Perhimpunan Aman dan surat telah diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad bagi menyatakan objektif perarakan.

No comments:

Post a Comment