Saturday 22 March 2014

Tang Soo Do disokong jadi acara SUKMA 2016

March 22, 2014

ALBUM: Abdul Karim (tiga kiri) dan Teo (empat kanan) merakamkan kenangan bersama ahli Persatuan Tang Soo Do Kuching semalam.
KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong cadangan Persatuan Tang Soo Do Kuching untuk menyenaraikan seni mempertahankan diri Tang Soo Do sebagai salah satu acara yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2016 di Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat dari persatuan tersebut semalam.

Justeru, Abdul Karim menggesa persatuan tersebut agar tampil dengan cadangan yang lebih lengkap untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan.

“Kerajaan negeri amat berminat untuk mengetengahkan sukan baharu yang berpotensi seperti Tang Soo Do dipertandingkan pada SUKMA 2016,” katanya.

“Saya percaya Sarawak mempunyai potensi cerah dalam sukan tempur seperti ini berdasarkan pencapaian yang diperolehi pada kejohanan tahunan peringkat negeri dan kebangsaan sebelum ini.”

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan turut optimis sukan yang cukup popular di seluruh negara itu akan disenaraikan dalam SUKMA 2016.

“Ia mempunyai potensi yang baik kerana ramai atlet kita pernah meraih kejayaan dalam kejohanan tersebut. Saya yakin, sukan itu akan menghadiahkan banyak pingat buat Sarawak,” tambahnya.

Menurut Abdul Karim, beliau akan mengajukan cadangan itu kepada Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Lee mengenai perkara ini dan kita perlu meneliti dengan lebih lengkap pencapaian dan pembangunan atlet negeri sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

“Apapun saya tetap positif Tang Soo Do mampu diperhebat dan dikembangkan agar menjadi sukan berprestij setaraf Sukan Olimpik,” tambahnya.

Beliau juga menggesa persatuan sukan lain agar terus berusaha mempromosi dan mengembangkan sukan mereka agar lebih dikenali.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Tang Soo Do Malaysia (Fomtsdo) Harold Teo berpendapat Sarawak telah mencatat banyak kejayaan memberangsangkan dalam sukan itu.

“Sarawak meraih 17 emas, 16 perak dan lapan gangsa pada Kejohanan Kebangsaan Fomtsdo yang diadakan di Selangor pada 14 dan 15 Disember 2013,” ujarnya.

“Ada enam negeri di Malaysia yang menjadi ahli gabungan Fomtsdo iaitu Sarawak, Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor, Kelantan dan Melaka.”

Ketika ini, cawangan di Sarawak sudah mempunyai sejumlah 450 ahli.
   

No comments:

Post a Comment