Sunday, 16 March 2014

Muhyiddin setuju saranan Karim agar nama SMK Asajaya No. 2 ditukar kepada SMK Hajah Laila Taib


ASAJAYA: Lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini membawa berita baik apabila beliau menunaikan harapan penduduk tempatan agar Sekolah Menengah Asajaya No.2 yang baharu dibina ditukar nama SMK Hajah Laila Taib.

Beliau mengumumkan nama sekolah berkenaan dipanggil SMK Hajah Laila Taib selepas permohonan secara lisan dibuat oleh Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan semasa program itu.

“Kita di peringkat kementerian akan membuat pindaan pada nama sekolah ini dan sekarang hasrat penduduk di sini telah ditunaikan untuk menamakan sekolah ini dengan nama SMK Hajah Laila Taib,” katanya pada majlis yang diadakan di sekolah itu semalam.

Muhyiddin berkata, penggunaan nama itu bagi mengingati jasa dan pengorbanan Allahyarhamah Laila Taib dalam memartabatkan pendidikan di kawasan itu.

“Kita amat gembira kerana dapat menunaikan apa yang dihasratkan oleh penduduk di sini,” tambahnya.

SMK Hajah Laila Taib yang sebelum ini dipanggil SMK Asajaya No.2 dibina dengan kos lebih RM70 juta dan mula dibuka empat tahun lalu.

Karim dalam ucapannya menyatakan cadangan untuk menukar nama sekolah itu memandangkan di kawasan Asajaya sudah pun mempunyai sekolah yang menggunakan nama SMK Asajaya.

Malah, katanya, penukaran nama sekolah itu juga mengambil kira jasa dan pengorbanan Allahyarhamah Laila Taib dalam bersama-sama suaminya membangunkan pendidikan di situ suatu ketika dulu.

“Kita tahu ramai yang menginginkan nama ini tetapi kami rakyat di Asajaya amat menaruh harapan yang tinggi agar nama sekolah ini ditukar kepada SMK Hajah Laila Taib,” ujarnya.
  

No comments:

Post a Comment