KERJASAMA: (Dari kiri) Junaidy, David, Abdul Karim, Sudarsono dan Abu Bakar menunjukkan isyarat bagus pada majlis perjanjian penajaan FAS dan Isuzu Malaysia di Dewan Masyarakat MBKS, Kuching semalam. |
KUCHING: Menteri Muda Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memuji inisiatif FAS dan Isuzu Malaysia bekerjasama menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Isuzu-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak.
Kejohanan tersebut akan berlangsung pada 15 hingga 22 Disember ini.
Karim, yang juga penasihat Persatuan Bolasepak Bahagian Samarahan, berharap kerjasama diantara FAS dan Isuzu Malaysia dapat mengembangkan mutu bola sepak negeri ini.
Manakala Pengurus Kanan Jualan Kenderaan Isuzu Malaysia, Junaidy Sulaiman berkata kerjasama menganjurkan kejohanan belia ada satu penghormatan kepada Isuzu Malaysia.
“Bola sepak adalah sukan yang popular. Ia satu penghormatan buat Isuzu kerana berpeluang membantu FAS dalam usahanya melahirkan bakat-bakat baharu dan menggalakkan lebih ramai remaja melibatkan diri dalam tersebut.”
Menurutnya, ini adalah kali pertama Isuzu Malaysia terlibat dalam penajaan bola sepak dan berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada pembangunan sukan tersebut di Sarawak.
Sementara itu, Presiden FAS Datu Sudarsono Osman berkata beliau berharap kerjasama dengan Isuzu Malaysia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Jelas beliau, kerjasama seumpama sangat penting bagi memastikan program pembangunan bola sepak remaja di negeri ini terus berkembang dan melangkah ke tahap yang lebih tinggi.
“Kami amat terharu apabila mengetahui ada syarikat seperti Isuzu yang ingin tampil dan menyokong hasrat kami untuk membangunkan aktiviti sukan yang sihat.
“Ini selari dengan seruan kerajaan untuk menyediakan landasan pembangunan bakat serta memastikan mereka terlibat dalam aktiviti yang sihat dan positif,” katanya.
Majlis perjanjian penajaan sejumlah RM100,000 di antara Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Isuzu Malaysia dirasmikan di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam.
Isuzu Malaysia diwakili oleh Pengurus Kanan Jualan Kenderaan Isuzu Malaysia, Junaidy Sulaiman sementara FAS diwakili timbalan presidennya, Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki.
Hadir sama Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi, Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBBS) Haidel Heli, Naib Presiden FAS Razali Dolhan dan Pengarah Urusan Rhino Motors Sdn Bhd, David Tay.
Sejumlah tujuh pasukan mengesahkan penyertaan pada kejohanan berlangsung selama lapan hari itu.
Pasukan terlibat terdiri daripada Samarahan, Limbang, Sibu, SFDP 17 yang diundi dalam kumpulan A.
Manakala Kuching, Miri dan Bintulu dalam Kumpulan B setelah Kapit menarik diri pada Rabu lalu.
Empat padang digunakan sepanjang kejohanan tersebut iaitu Stadium Mini Samarahan dan UNIMAS (tiga padang).
No comments:
Post a Comment