KUCHING: Belanjawan 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas dilihat sebagai satu inti pati belanjawan yang menyeluruh dalam usaha menggerakkan pembangunan negara memandangkan semua sektor di negara ini menerima bahagian masing-masing.
Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui berkata, belanjawan itu menjadi salah satu usaha kerajaan untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
“Melihat belanjawan yang baharu dibentangkan oleh Najib pada Jumaat lepas, saya dapat lihat ia sebagai satu belanjawan yang menyeluruh untuk mengembang serta membangunkan Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
“Selain itu, saya turut bersyukur dengan pembentangan seimbang tersebut kerana setiap sektor di negara ini mendapat bahagian mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, tidak ketinggalan buat Sarawak yang turut merasai peningkatan belanjawan daripada pelbagai aspek terutama di bawah aspek hartanah dan pemilikan perumahan.
“Kita di Sarawak turut merasai inti pati yang ditekankan dalam pembentangan belanjawan yang lepas sama ada dari segi penyukatan tanah-tanah adat mahupun naik taraf keperluan yang lain.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, peruntukan sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi tanah-tanah adat tersebut selain tiga lapangan terbang akan dinaik taraf iaitu di Mukah, Sibu dan Miri,” katanya.