Pages

Wednesday, 28 November 2012

Pengurus perumahan di pangsapuri sewa

Posted on November 28, 2012, Wednesday


KUCHING: Kementerian Perumahan akan menempatkan pengurus perumahan secara sepenuh masa di setiap kawasan pangsapuri disewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini untuk menguruskan pangsapuri-pangsapuri tersebut.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan untuk menambah baik pendekatan sedia ada dalam pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri awam Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) itu.

Jelas beliau, struktur baharu tersebut akan mengambil kira keperluan tenaga kerja teknikal dan pentadbiran serta penyelia blok yang mencukupi bagi memastikan proses pengurusan yang berkesan.

“Melalui kaedah pengurusan baharu ini, kita akan dapat memastikan kualiti penyelenggaraan dan tahap pengurusan pangsapuri awam dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, pengurus perumahan juga akan terdiri daripada individu yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan tentang pengurusan fasiliti iaitu kakitangan PPPS.

Tambah beliau, pelaksanaan kaedah tersebut juga tidak akan mempengaruhi kenaikan kadar sewa bulanan di mana ia akan kekal RM150 sebulan mengikut kadar sewa bulanan yang ditetapkan bagi Sarawak.

Sementara, bagi pembinaan projek pangsapuri baharu di bawah PPR pula, Abang Johari berkata kerajaan turut memperkenalkan konsep yang inovatif di mana pembinaannya akan melibatkan penyediaan kemudahan awam secara bersepadu seperti surau, tempat riadah, gelanggang permainan dan dewan serba guna.

Selain itu, katanya projek perumahan ini juga akan mengandungi kawasan lapang dan kawasan hijau (sekiranya tapak perumahan tersebut mempunyai keluasan yang cukup), penyediaan lot kedai serta kemudahan lif.

Pembinaan unit pangsapuri untuk sewaan di bawah PPR merupakan usaha kerajaan untuk menyediakan kediaman sementara kepada golongan yang memerlukan.

Memandangkan golongan memerlukan rumah semakin bertambah disebabkan trend penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang meningkat, kerajaan telah memutuskan untuk tidak menjual pangsapuri sedia ada atau yang baharu buat masa ini.

Malah, kadar sewanya yang rendah juga akan membolehkan golongan tersebut tinggal dalam tempat kediaman yang selesa dan pada masa sama mereka akan dapat menyimpan wang untuk membeli rumah sendiri.
   

No comments:

Post a Comment