Sunday, 4 November 2012

Anwar ahli politik yang cuma bijak berkata-kata


“Sekarang tiba-tiba jadi penyayang kepada Sarawak dan kerap datang. Semua ini adalah wayang kulit Anwar untuk mengaburi mata rakyat Sarawak agar menyokong dan mengangkat beliau ke Putrajaya.” - Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah  

KUCHING: Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol sebagai ahli politik yang cuma bijak berkata-kata.

Menurut Abdullah, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mempunyai niat untuk menolong rakyat, sekali gus beliau mengajak agar rakyat Sarawak tidak terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang.

“Saya tidak faham mengapa masih ada orang percaya dengan kata-kata pemimpin PKR yang hipokrit. Mengapa tidak ada yang bertanya tentang banyak janji-janji mereka yang tak tertunai di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya yang diminta mengulas tentang lawatan Anwar ke Kanowit dan Kuching kelmarin dan semalam.

Anwar ketika berada di Kanowit berkata, beliau akan lebih kerap ke Sarawak jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut mempersoalkan apa yang telah dilakukan Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Apa yang dia pernah buat untuk Sarawak semasa dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Pemimpin seperti ini tiada keikhlasan untuk membantu tapi jaguh merapu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata semua orang kenal dengan Anwar yang disifatkannya sebagai ‘Raja Pemberi Janji.’

Sebelum ini, katanya, telah banyak janji yang ditabur Anwar tetapi hingga sekarang ia tinggal janji.

Menurutnya, jika benar-benar mahu membantu Sarawak, semasa jadi Timbalan Perdana Menteri sudah nampak sifat itu.

“Sekarang tiba-tiba jadi penyayang kepada Sarawak dan kerap datang. Semua ini adalah wayang kulit Anwar untuk mengaburi mata rakyat Sarawak agar menyokong dan mengangkat beliau ke Putrajaya,” ujarnya.
   

No comments:

Post a Comment