Thursday 6 September 2012

Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit Sarawak tawar hadiah RM14,290


KUCHING: Lebih 150 pelumba basikal terbaik dari seluruh negara akan menyertai Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit Sarawak 2012 di Jalan Politeknik/Matang pada 22 dan 23 September ini.

Kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah keseluruhan RM14,290 itu dianjur oleh Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBS) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS).

Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sirkit di Sarawak adalah yang ketiga daripada lima sirkit selepas Kedah dan Kelantan.

Sirkit keempat akan diadakan di Perak pada November 2012 (200km) dan kelima di Melaka pada Disember 2012 (250km).

“Objektif utama kejohanan tersebut adalah meningkatkan mutu pelumba-pelumba kebangsaan di samping mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan kompetitif ini,” katanya semasa sidang media di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KPS Affandi Keli, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan KPS Mering Wan dan Setiausaha PBS Zulaihi Seri.

“Melalui kejohanan ini juga, kita dapat mengenal pasti pelumba-pelumba yang layak dan berpotensi untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, ia memberi pendedahan berguna kepada peserta-peserta negeri kerana mereka bakal bersaing dengan ramai pelumba kebangsaan.”

Abdul Karim berkata kejohanan tersebut adalah platfom terbaik bagi para pelumba meningkatkan prestasi masing-masing kerana mereka akan menempuh perlumbaan sejauh 180km.

Selain itu, mereka juga akan bersaing dengan pelumba-pelumba dari Brunei dan Kalimantan Barat yang turut mengambil bahagian dalam sirkit tersebut.

Antara kategori yang bakal dipertandingkan adalah lebuh raya lelaki elit (terbuka kebangsaan), lebuh raya lelaki remaja (18 tahun ke bawah), ujian masa perseorangan lelaki elit (terbuka kebangsaan), ujian masa perseorangan lelaki remaja (18 tahun ke bawah), lebuh raya wanita terbuka, ujian masa perseorangan wanita terbuka dan tertutup Sarawak.

Bagi acara tertutup Sarawak, penyertaan hanya terbuka kepada pelumba-pelumba tempatan.

Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur, Terengganu dan Selangor telah mengesahkan penyertaan.

Tarikh tutup penyertaan adalah 14 September dan yuran pendaftaran bagi setiap peserta adalah RM30.
   

No comments:

Post a Comment