Sunday, 24 June 2012

Karim: Sarawak cadang anjur motocross taraf antarabangsa


KOTA SAMARAHAN: Memandangkan sukan motocross semakin popular di negeri ini, pihak kerajaan akan berusaha memastikan kejohanan itu bakal dianjurkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sukan motocross kini menjadi acara berprestij di negeri ini khususnya di daerah Bau dan Samarahan.

Justeru, katanya, kerajaan akan membina sebuah litar tetap bagi kejohanan motocross peringkat antarabangsa di sini.

“Kita amat berbangga dengan kejayaan pihak penganjur yang telah memperlihatkan kejohanan motocross dapat diadakan setiap tahun di sini,” katanya berucap merasmikan penutupan Kejohanan Motocross Samarahan 2012 di sini petang semalam.

Kejohanan anjuran Majlis Daerah Samarahan (MDS) itu disertai lebih 30 pelumba dari sekitar daerah Samarahan, Bau, Lundu, Serian termasuk dari Miri dan Bintulu.

Pada kejohanan itu, pelumba muda dari Serian, Murphy David Sze membuktikan keunggulannya bergelar Raja Litar Motocross Samarahan 2012.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan pengerusi penganjur, Kaunselor Daily Joseph.

Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya berkata pembinaan litar motocross di negeri ini adalah penting bagi memberi peluang kepada generasi muda yang minat mendalam terhadap sukan lasak terbabit.

“Kita yakin dengan adanya litar perlumbaan itu dapat menghindarkan anak-anak muda kita terjebak dengan aktiviti berlumba motosikal di jalan raya,” katanya.

Abdul Karim menarik perhatian selain sukan motocross, Samarahan juga merupakan destinasi menarik sukan air iaitu pam ski yang bakal diadakan di Pangkalan Feri Samarahan awal bulan depan.

Justeru, katanya, dengan penganjuran aktiviti sukan peringkat antarabangsa itu maka Samarahan merupakan destinasi pelancongan yang menarik pada masa akan datang.

“Kita juga bangga kerana Samarahan telah melahirkan ramai atlet dalam pelbagai sukan seperti bola sepak, ragbi, renang dan sebagainya baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya.
   

No comments:

Post a Comment