Monday 8 November 2010

Karim: Bina velodrom di Sarawak

November 8, 2010

Pembinaan penting demi perkembangan sukan berbasikal di negeri ini

MEMBURU KEJUARAAN: Para pelumba bagi kategori terbuka wanita memulakan cabaran masing-masing di Kuching semalam.
KUCHING: Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS) mencadangkan kepada kerajaan negeri agar membina sebuah velodrom basikal sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma VVII) di sini pada 2014.

Presidennya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata velodrom itu sememangnya amat penting bagi negeri ini sebagai arena kejohanan basikal peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Kita akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membina sebuah velodrom di sini bagi meningkatkan mutu sukan berbasikal di samping sebagai persediaan kita menjadi tuan rumah Sukma 2014 nanti,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Abdul Karim berkata pembinaan velodrom itu sememangnya menelan kos yang besar tetapi Sarawak perlu mempunyai kemudahan itu demi meningkatkan mutu sukan basikal di negeri ini.

Menurut Abdul Karim, velodrom itu mungkin dibina di kawasan Kompleks Sukan Petra Jaya yang menempatkan arena sukan seperti stadium bola sepak, sepak takraw, boling padang, gimnastik, paintball, memanah dan sebagainya.

“Kita percaya impian untuk mempunyai sebuah velodrom yang lengkap dengan kemudahan sukan berbasikal akan tercapai suatu hari nanti,” katanya ditemui pada kejohanan Lumba Basikal Sirkit Kebangsaan di sini semalam.

Mengenai hasrat Le Tour de Langkawi untuk menjelajah Sarawak tahun depan, Abdul Karim berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama dengan kerajaan negeri dan pelbagai pihak yang terbabit.

“Kita tahu penganjuran Le Tour de Langkawi merupakan acara berprestij dunia yang menampilkan ramai pelumba basikal tempatan dan antarabangsa termasuk pegawai-pegawai pasukan.

“Justeru kita perlu melihat keupayaan kita sebagai penganjur untuk menyediakan pelbagai kemudahan dari segi logistik, pengangkutan, penginapan dan sebagainya,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Abdul Karim percaya Sarawak mampu menjadi penganjur terbaik kejohanan Le Tour de Langkawi pada suatu masa nanti jika diberi peluang sebagai tuan rumah.

Beliau menarik perhatian kejohanan basikal sirkit kebangsaan itu adalah medan terbaik bagi mencetus minat pelumba-pelumba tempatan (Sarawak) kerana mereka kurang berminat dalam perlumbaan lebuh raya.

“Kita akui bahawa pelumba-pelumba Sarawak lebih cenderung dalam acara ‘mountain bike’, justeru kita berharap mereka menaruh minat tinggi dalam acara lebuh raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi 2011, Mohamed Salleh ketika ditemui Utusan Borneo berkata pihaknya sememangnya sedia menimbang hasrat Sarawak untuk menjadi tuan rumah kejohanan basikal jelajah negara itu pada masa akan datang.

Menurutnya, Le Tour de Langkawi memang berhasrat untuk menjelajah ke Sarawak dan Sabah kerana ia adalah sebahagian produk pelancongan bagi kedua-dua buah negeri Malaysia Timur ini.

“Kita bersedia mengembangkan sayap Le Tour de Langkawi ke Sarawak, jika kerajaan negeri dan PBS bercadang untuk menganjurkannya,” kata beliau.

Seramai 189 orang pelumba dari seluruh negara termasuk Sarawak, Sabah dan Brunei bersaing dalam perlumbaan terbahagi kepada empat kategori iaitu lelaki elit kebangsaan dan wanita terbuka, junior dan veteran.

Pemenang bagi setiap kategori lelaki elit (terbuka kebangsaan) juara meraih hadiah sebuah piala dan wang tunai RM1,000. Juara wanita terbuka meraih RM750 sementara juara lelaki remaja dan veteran masing-masing merangkul RM400.
   

No comments:

Post a Comment