Thursday, 17 July 2014

Dakwaan bahang perkauman, agama dirasai di Sarawak dinafi


KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menafikan dakwaan bahang perkauman dan agama mula dirasai di negeri ini.

Jelasnya, tidak dinafikan terdapat individu seperti ahli politik tempatan cuba menjadi juara dan mempersoalkan isu-isu seperti kalimah ‘Allah’ namun secara umumnya, penduduk negeri ini tidak peduli dengan semua itu.

“Tidak pernah ada ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Sarawak.

“Memang ada beberapa yang paranoid ‘menyalak’ secara berterusan dan cuba mengungkit isu kalimah tetapi penduduk di negeri ini tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Sikap pelampau dalam agama atau bangsa merupakan sesuatu yang cukup asing di Sarawak dan jika ada yang cuba menunjukkan diri lebih dominan daripada yang lain, mereka akan dihalang oleh bangsa itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal berita atas talian The Malaysian Insider mengenai Sarawak mulai merasa bahang persengketaan kaum dan agama dari Semenanjung Malaysia.

Abdul Karim berkata, malah dapat disaksikan dalam tahun 70-an di mana kaum Melayu menolak parti PAJAR dan pada tahun 80-an dan awal 90-an kaum Dayak menolak Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) kerana terlalu ekstrem dalam perkauman.

“Semua cubaan untuk membawa pelampau agama atau kaum ke Sarawak tidak akan menerima apa-apa sokongan. Ia akan gagal,” katanya sam-bil menambah portal berita itu tidak harus mengelirukan orang ramai tentang cara kehidupan di Sarawak.
  

No comments:

Post a Comment