Thursday, 17 July 2014

Ancaman sindiket dadah sasar pelajar perlu perhatian


SIBU: Ancaman sindiket dadah yang didakwa menyasarkan pelajar sekolah menjaja bahan terlarang itu perlu diberi perhatian segera.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jika tiada langkah pencegahan awal ia dikhuatiri berupaya memusnahkan masa depan generasi muda.

“Ia perlu diberi perhatian serius menerusi langkah pencegahan,” ujarnya ketika mengulas laporan Bernama yang melaporkan bahawa sindiket dadah menjadi lebih berani dengan menyasarkan pelajar sekolah untuk menjual dadah.

Memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Bernama melaporkan pelajar sekolah kini menjadi sasaran oleh pengedar dadah kerana pasaran yang menguntungkan di sekolah.

Wan Junaidi juga dilaporkan berkata mereka akan mengenal pasti kawasan panas di negara ini dan melaksanakan program-program pendidikan pencegahan.

Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya memberi amaran sindiket dadah menggunakan semua saluran untuk memastikan pulangan lumayan.

“Bagi mereka (sindiket), mereka tidak peduli mengenai siapa sasaran mereka, sama ada pelajar sekolah, wanita, orang miskin, orang kaya atau profesional.

“Apa yang lebih penting ialah mereka harus mendapat seramai mana pelanggan untuk memperolehi banyak wang.

“Ibu bapa, sekolah, badan bukan kerajaan, agensi-agensi penguatkuasaan dan kerajaan perlu sentiasa berwaspada untuk menangani gejala tersebut mereka di kalangan masyarakat yang lebih besar,” ujar beliau.
  

No comments:

Post a Comment