Monday, 2 April 2018

Sarawak Borneo Cross Country Rally 2018, program jelajah Pulau Borneo


KUCHING: Pemilik motosikal berkuasa 250cc dan ke atas berpeluang menyertai Sarawak Borneo Cross Country Rally 2018 yang kini dibuka pendaftarannya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program jelajah Pulau Borneo itu akan diadakan pada 3 hingga 14 Ogos nanti.

Katanya laluan yang akan dilalui para ‘biker’ yang menyertai jelajah itu bermula dari Kota Kinabalu ke Brunei, Miri, Bintulu, Sibu singgah Kuching sebelum meneruskan ke Pontianak, Singkawang dan lokasi terakhir di Kuching.

“Program jelajah Borneo ini secara tidak langsung mempromosikan Sarawak sebagai lokasi pelancongan sekali gus melonjakkan industri pelancongan di sini termasuk negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sarawak Borneo Cross Country Rally 2018 di Icom Square di sini semalam.

Karim berkata aktiviti jelajah bermotosikal di negeri ini kian popular ekoran pembangunan sistem perhubungan yang semakin baik.

Jelasnya, apatah lagi dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo kelak yang akan memberi keselesaan kepada peminat aktiviti jelajah bermotosikal ini.

“Aktiviti jelajah bermotosikal ini antara yang menjadi penyumbang kepada Sarawak dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong melawat negeri ini,” tambahnya.

Untuk pendaftaran, ‘biker’ boleh melayari laman Facebook Sarawak Borneo Cross Country Rally 2018 bagi mendapatkan borang pendaftaran.

Yuran dikenakan RM4,777 (untuk rider kongsi bilik) dan RM5,555 (tidak berkongsi bilik).

Pakej ini termasuk penginapan, makan dan minuman, ‘goodie bag’, tiga baju kemeja-T (dua lengan pendek dan satu lengan panjang), minyak, yuran dokumen untuk rentas sempadan, trak sokongan dan pasukan teknikal.

Program jelajah Borneo itu merupakan anjuran Uni Des Event Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dan media rasmi akhbar Kumpulan See Hua (Utusan Borneo, Borneo Post dan See Hua Daily).

Untuk tempahan sila hubungi 013-3913388, 019-2705073 dan 012-6866550.

Hadir sama Pengerusi ICube Innovation Icom Square Datuk Patrick Liew, Pengarah Urusan Uni Des Kho Sze Min dan Konsulat Jeneral Brunei di Kuching Mohamad Kamaluddin. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment