JOM SERTAI: Karim (tengah) pada sidang media bersama Abdul Haris (kanan) dan Kameri. |
KUCHING: Sarawak menyasarkan seramai 534,000 peserta mengambil bahagian pada edisi kedua Hari Sukan Negara (HSN) yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 8 Oktober depan.
Sehubungan itu, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyeru masyarakat pelbagai lapisan di seluruh negeri keluar memeriahkan hari tersebut dengan menyertai pelbagai aktiviti sukan yang diadakan di kawasan masing-masing kelak.
Menurut Karim, antara aktiviti yang disediakan seperti ‘fun ride,’ ‘fun run,’ Zumba, senamrobik, seni mempertahankan diri, program rekreasi, gerai jualan peralatan sukan, cabutan bertuah dan banyak lagi.
“Kita menyasarkan sejumlah 534,000 peserta untuk mengambil bahagian pada HSN kali ini berbanding lebih 400,000 peserta pada tahun lepas.
“Pelbagai aktiviti sukan akan diadakan dari 7 hingga 9 Oktober manakala perasmian HSN diadakan pada 8 Oktober,” menurut Karim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Menurut Karim, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka merasmikan HSN Peringkat Negeri pada 8 Oktober bertempat di Padang Merdeka, Kuching atau Tebingan Kuching.
Menteri Muda Perumahan itu turut menegaskan dengan menyertai HSN secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan kekeluargaan selain mewujudkan budaya hidup sihat di kalangan masyarakat di sini.
“Justeru, kita menyeru penglibatan semua masyarakat tanpa mengira umur dan kaum untuk turut serta memeriahkan pelbagai aktiviti sukan yang disediakan semasa HSN nanti,” tambah Karim.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti, Kameri Affandi dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Abdul Haris Ishak.
No comments:
Post a Comment