Friday, 13 June 2014

GST tidak harus dilihat punca utama harga rumah naik


SIBU: Orang ramai tidak harus melihat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan sebagai punca utama kenaikan harga rumah di negeri ini.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihak tertentu harus lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan terutama berkaitan dengan GST dan harga rumah.

“Jangan lihat pelaksanaan dan kesan GST ini sebagaimana pihak pembangkang melihatnya. Kaji terlebih dahulu bagaimana GST ini berfungsi baharu kita boleh memberi pandangan,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Karim berkata demikian ketika memberi maklum balas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Sim Kian Chiok yang disiarkan sebuah akhbar tempatan, kelmarin.

Sim dipetik berkata, GST dilihat memberi kesan kepada kos pembinaan atau pembangunan, yang turut mendatangkan kesan kepada harga rumah.

Laporan juga mengatakan kenaikan kos itu akan dipikul oleh pembeli rumah, bergantung kepada permintaan terhadap sesuatu hartanah itu.
  

No comments:

Post a Comment