KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi markah bonus terhadap bakal calon Barisan Nasional (BN) yang aktif dalam menggunakan teknologi komunikasi di alam maya.
Abdul Karim bagaimanapun berkata, kriteria utama dalam memilih calon boleh menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini kelak ialah seseorang yang berjiwa rakyat, berpendidikan, berketerampilan baik, bermoral dan bijak memimpin.
Tegas beliau aktif menggunakan Facebook atau Twitter tidak wajar dijadikan kriteria utama tetapi memadai ia diberi markah bonus, terutama sesuai dengan situasi di Sarawak.
“Saya sependapat dan setuju dengan pandangan Perdana Menteri. Pengetahuan IT amat penting dan mesti menjadi prasyarat untuk menjadi pemimpin,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata masih banyak kawasan yang tidak ada kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat di Sarawak.
“Di Sarawak masih banyak lagi kawasan yang tidak ada kemudahan IT dan tidak dapat dihubungi melalui pesanan ringkas, e-mel, Internet jadi macam mana hendak berfacebook,” katanya.
Baru-baru ini Najib berkata, antara kriteria calon boleh menang BN adalah mereka yang diterima oleh generasi baharu yang merupakan penentu PRU akan datang.
Katanya, calon BN juga perlu memanfaatkan teknologi baharu untuk menyampaikan mesej kepada rakyat, terutama generasi muda yang menggunakan saluran alam maya untuk menerima maklumat mengenai perkembangan semasa.
No comments:
Post a Comment