Saturday 17 September 2011

Malaysia perlukan undang-undang pencegahan seperti ISA


September 17, 2011
Undang-undang ganti ISA diharap cegah anasir berbahaya terhadap masyarakat majmuk

KUCHING: Dua undang-undang yang bakal digubal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 diharap berperanan mencegah anasir berbahaya terhadap hubungan antara masyarakat majmuk di negara ini.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, undang-undang itu kelak wajar mempertimbangkan kemungkinan munculnya ekstremis kaum atau agama yang dikhuatiri menggugat ketenteraman awam.

“Kita mahu melihat apakah pengganti terhadap ISA yang telah dijanjikan kerana dalam keadaan masyarakat majmuk dan berlainan agama kita amat memerlukan undang-undang pencegahan seperti ISA untuk menangani ekstremis dalam masyarakat.

“Kita tidak mahu jadi macam Yugoslavia suatu ketika dahulu yang telah berpecah-belah mengikut etnik dan bangsa ekoran timbulnya ekstremis bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya berkata lagi, pemansuhan undang-undang tersebut juga menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai prihatin dan sensitif terhadap hak asasi dan permintaan rakyat.

“Ia merupakan perkara yang dijanjikan oleh Najib apabila mengambil alih tampuk pemerintahan dahulu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap Najib tidak terlalu mengikut telunjuk pembangkang apabila menyentuh perundangan berkaitan ketenteraman awam.

“Harapan kita juga agar PM tidak terlalu ikut rentak pembangkang yang tidak akan menghargai apa-apa yang dilakukan kerajaan,” katanya.

Malam kelmarin, Najib dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan TVi mengumumkan ISA dimansuhkan dan kerajaan akan menggubal dua undang-undang baru bertujuan memelihara keamanan negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, dengan tindakan itu ia dapat menunjukkan keikhlasan bagi memberi ruang kepada semua rakyat untuk mengetengahkan isu yang memerlukan perhatian dan tindakan kerajaan.

Namun beliau menegaskan kebebasan itu perlu ada batasnya bagi mengelak mana-mana individu mengambil kesempatan sehingga mendatangkan huru-hara serta ketidakstabilan yang mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semalam.
 

No comments:

Post a Comment