Thursday, 15 September 2011

Kebebasan bersuara secara sederhana

September 15, 2011

ANUGERAH PELAJAR DIPLOMA TERBAIK: Jamil (enam kiri) berdiri bersebelahan Karim (tujuh kiri) sewaktu sesi bergambar berkumpulan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin.
KUCHING: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah mahu kebebasan bersuara, memberi pendapat dan luahan direbut mahasiswa tetapi dilakukan secara berpada-pada.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata mahasiswa perlu ‘keluar dari kepompong lama’ dan bertindak sebagai ejen perubahan tanpa membuta tuli.

“Mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah dan pengetahuan agar menjadi bangsa yang lebih bertamadun, kompetitif dan berkualiti demi membantu membangunkan negara,”ujarnya ketika berucap di Majlis Makan Malam Pragraduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi Mei-Oktober 2011 di sini malam kelmarin.

Beliau turut meluahkan kekesalan terhadap golongan mahasiswa yang kurang peka kepada isu nasional dan antarabangsa dan menggesa mereka berubah.

“Mereka kekok untuk berbicara dalam menyatakan pendirian tentang sesuatu isu dan cetek dalam persoalan disiplin ilmu.

“Jika dilihat pada waktu dulu, mereka merupakan golongan yang sentiasa menjuarai isu-isu besar dalam negara malahan dianggap suara hati rakyat dalam membela nasib dan merungkai keperitan hidup masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu beliau memberitahu bahawa kadar pengangguran di kalangan mahasiswa lepasan diploma dan sarjana semakin meningkat.

“Menurut Sumber Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran meningkat 3.2 peratus pada Jun 2011.

“Pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan masalah penggangguran namun ia lebih berjaya jika mahasiswa sendiri mengubah minda dari segi perancangan, strategi, program dan mekanisme pelaksanaan,” katanya.

Karim yang merupakan tetamu kehormat di majlis itu menyampaikan Anugerah Dekan (AD) dan Anugerah Naib Canselor (ANC) bersama Rektor UiTM Profesor Dr Jamil Hamali kepada 16 pelajar diploma terbaik sesi Januari-April 2011 kelmarin.

Beliau turut ditemani Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM Wan Akil Tuanku Abdullah, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Profesor Madya Dr Rosita Suhaimi dan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Profesor Madya Dr Rasidah Mahdi.
   

No comments:

Post a Comment