Wednesday 13 October 2010

Bantuan akan diberikan kepada mangsa ribut - Karim


Puluhan buah rumah di Kampung Empila, Melayu dan Mangka Semong rosak teruk

ASAJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan Jabatan Kebajikan dan Pejabat Residen telah diarahkan untuk membantu penduduk tiga buah kampung yang mengalami kerosakan rumah akibat ribut.

MANGSA RIBUT: Sebuah rumah PPRT dan rumah keluarga Kipli rosak teruk selepas bumbung diterbangkan ribut semalam.
“Saya telah meminta pihak kebajikan dan Pejabat Residen untuk melakukan sesuatu bagi membantu mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihak berkenaan juga akan melakukan penilaian ke atas kerugian berikutan kejadian itu.

Beliau kemudian meminta supaya penduduk kampung berkenaan yang terlibat dalam kejadian itu supaya bersabar.

Puluhan buah rumah di tiga buah kampung di sini musnah selepas dilanda ribut kuat petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 petang itu beberapa buah rumah rosak teruk selepas dilanda ribut yang turut memusnahkan bumbung rumah serta atap-atap puluhan rumah yang lain dalam kejadian yang berlaku tidak sampai 20 minit itu.

Turut musnah ialah beberapa buah rumah yang dibina menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik beberapa penduduk kampung terbabit.

Penduduk kampung ketika ditemui ekoran kejadian itu masih tidak dapat berkata apa-apa selain hanya mengalirkan air mata kerana sedih.

Kipli Sebi dari Kampung Melayu ketika ditemui berkata, beliau tidak ada di rumah semasa kejadian itu berlaku.

Katanya, beliau bergegas pulang ke rumah sejurus mendengar berita itu dan hanya mendapati bumbung rumahnya telah putus dihempas ribut kuat.

Seorang lagi penduduk, Fatimah Samat, 30 dan Mohsen Sion ,39, ketika ditemui hanya mampu melahirkan rasa sedih masing-masing berhubung kejadian itu.
  
(Artikel asal telah diedit)

No comments:

Post a Comment