Semangat kesukarelaan masyarakat dilihat semakin terhakis terutama di kawasan bandar
LUNDU: Semangat kesukarelaan di kalangan masyarakat dilihat semakin terhakis terutama di kawasan bandar.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Sosial Abdul Karim Hamzah.
Justeru, beliau menuntut agar semangat sukarela disemai dalam jiwa setiap masyarakat tanpa mengira peringkat dan latar belakang.
“Jika kita lihat ketika ini, semangat sukarela semakin hari semakin terhakis terutama di kawasan bandar.
“Oleh itu penting untuk kita menganjurkan program yang dapat menyemai semangat sukarela dalam setiap jiwa masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Kursus Asas Skuad Rakan Muda RELA Siri 4/2011 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Lundu di sini semalam.
Kursus tersebut telah diadakan selama enam hari bermula 14 Oktober lepas melibatkan 100 anggota muda RELA dari Kuching, Asajaya, Simunjan, Samarahan, Lundu dan Sematan.